Skip to main content

Dunia

Perancis tangguh sementara kelas sekolah menengah susulan tunjuk perasaan pelajar

Kerajaan Perancis mengumumkan, kelas sekolah menengah akan dihentikan sementara menjelang hujung minggu bagi memberi “ruang untuk demokrasi dalaman” susulan mobilisasi pelajar dan insiden keganasan. - Gambar Reuters
Kerajaan Perancis mengumumkan, kelas sekolah menengah akan dihentikan sementara menjelang hujung minggu bagi memberi “ruang untuk demokrasi dalaman” susulan mobilisasi pelajar dan insiden keganasan. - Gambar Reuters

Advertisement

ISTANBUL: Perdana Menteri Perancis, Sebastien Lecornu mengumumkan pada Selasa bahawa kelas sekolah menengah akan dihentikan sementara menjelang hujung minggu bagi memberi “ruang untuk demokrasi dalaman” susulan mobilisasi pelajar dan insiden keganasan, lapor Anadolu Ajansi.

Lecornu berkata, “tiada ruang untuk bertolak ansur dengan keganasan” dan menggesa golongan politik untuk “bersatu” bersama penjawat awam yang terjejas akibat keganasan.

“Dalam demokrasi yang berfungsi, tanggungjawab individu setiap orang, rakyat, termasuk golongan bawah umur, tetap wujud,” kata Lecornu. “Membakar sekolah menengah tidak akan memperbaiki keadaan bangunan sekolah menengah.”

“Memukul seorang guru sehingga cedera tidak akan meningkatkan kadar penggantian guru,” katanya.

Gerakan yang diterajui pelajar itu bermula pada akhir September susulan aduan mengenai kekurangan kakitangan, bilik darjah yang sesak serta kemudahan sekolah yang tidak mencukupi. Sekatan dan demonstrasi sejak itu merebak ke sekolah di beberapa bandar di Perancis.

Gerakan yang sebahagian besarnya berlangsung secara aman itu turut menyaksikan insiden keganasan, termasuk kebakaran, kerosakan harta benda serta serangan terhadap kakitangan dan anggota polis, menurut pihak berkuasa.

Lecornu turut menyampaikan kenyataan kepada pelajar sekolah menengah yang cedera akibat tindakan pasukan keselamatan ketika mobilisasi berkenaan.

“Bolehkah kemalangan berlaku? Jawapannya ya,” katanya sambil mengkritik penggunaan istilah “keganasan polis”.

“Jika berlaku kemalangan, siasatan pentadbiran dan kehakiman mesti dijalankan. Mesti ada  akauntabiliti   dan empati,” kata Lecornu.

Beliau menyifatkan keadaan itu sebagai “ancaman paling berat dalam dekad ini dalam sistem pendidikan nasional.”

Lecornu berkata “keganasan melampau mengetuk pintu sekolah-sekolah menengah ini” dan menyifatkan “normalisasi keganasan” sebagai tidak boleh diterima.

 “Keadilan mesti ditegakkan,”katanya.

 --BERNAMA-ANADOLU

 

 

Must Watch Video

Advertisement