Skip to main content

Dunia

Jamal Rayyan, wajah pertama Al Jazeera, meninggal dunia pada usia 73 tahun

Al Jazeera Arabic presenter Jamal Rayyan, the first face ever seen on the channel when it launched nearly three decades ago, has passed away at the age of 73 http://aje.news/8dpgk4
Beliau menghembuskan nafas terakhir pada Ahad selepas kerjaya penyiaran yang merentangi lebih lima dekad. - Foto X/Al Jazeera English

DOHA: Jamal Rayyan, penyampai berita terkenal Al Jazeera Arabic dan individu pertama yang muncul di layar saluran tersebut hampir tiga dekad lalu, telah meninggal dunia pada usia 73 tahun.

Beliau menghembuskan nafas terakhir pada Ahad selepas kerjaya penyiaran yang merentangi lebih lima dekad, menjadikannya antara tokoh paling berpengaruh dalam landskap media Arab moden.

Advertisement

Jamal menjadi ikon sejak 1 November 1996, apabila beliau membacakan buletin berita pertama Al Jazeera, satu detik bersejarah yang kemudian melahirkan rangkaian berita paling berpengaruh di dunia Arab.

Sejak itu, beliau menjadi wajah tetap berita Al Jazeera hampir 30 tahun, melaporkan pelbagai peristiwa besar termasuk perang AS di Afghanistan dan Iraq serta Kebangkitan Arab (Arab Spring).

Ketua Pengarah Rangkaian Media Al Jazeera, Sheikh Nasser bin Faisal Al Thani, menyifatkan pemergian Jamal sebagai kehilangan besar.

“Beliau adalah tonggak identiti Al Jazeera dan sentiasa dekat di hati para penonton,” katanya sambil memuji ketokohan Jamal dalam ketepatan bahasa, gaya penyampaian berwibawa, dan prinsip kewartawanan yang teguh.

Beliau menambah bahawa Jamal menjadi contoh teladan kepada generasi wartawan yang mengikuti jejak langkahnya.

Dilahirkan pada tahun 1953 di Tulkarem di Tebing Barat yang diduduki, Jamal memulakan karier medianya pada tahun 1974 di Radio dan Televisyen Jordan.

Beliau kemudian bekerja dengan beberapa penyiar serantau dan antarabangsa, termasuk televisyen Emiriah Arab Bersatu, penyiar awam Korea Selatan, dan BBC Arabic, sebelum menyertai Al Jazeera sebagai sebahagian daripada pasukan perintisnya.

Jamal pernah mendedahkan bahawa pemilihannya sebagai penyampai pertama saluran itu pada 1996 dilakukan secara sulit.

“Naib pengerusi lembaga memberitahu saya: ‘Anda dipilih menjadi wajah pertama Al Jazeera, tetapi jangan beritahu sesiapa,’” katanya dalam satu wawancara dokumentari dalaman Al Jazeera.

Pengumuman bahawa beliau akan membacakan buletin pertama dibuat hanya setengah jam sebelum siaran bermula.

Jamal menceritakan bahawa beliau memasuki studio dengan perut kosong supaya dapat bernafas dengan baik semasa siaran.

“Apabila siaran bermula, jantung saya berdegup kencang. Tetapi selepas saya mengucapkan ‘Selamat datang ke siaran pertama saluran Al Jazeera’, saya kembali tenang dan menamatkan siaran dengan baik,” katanya.

Lebih daripada tiga dekad, Jamal dikenali ramai bukan sahaja kerana wajahnya yang tenang, tetapi juga suara yang berwibawa, yang menjadi sinonim dengan buletin berita Al Jazeera.

Beliau mengumpul lebih 2.3 juta pengikut di platform X, menjadikannya antara penyampai berita Arab paling berpengaruh.

Pengaruhnya dalam membentuk liputan berita rantau Arab menjadikan beliau simbol kewartawanan moden di dunia Arab, suatu era di mana Al Jazeera membantu membuka ruang perbincangan politik dan sosial secara lebih terbuka.

Jamal meninggal dunia selepas lebih 50 tahun dalam dunia penyiaran, dengan rakan media serata dunia Arab menghantar ucapan takziah dan mengenang sumbangannya.

Untuk ramai wartawan muda, beliau bukan sekadar penyampai berita, tetapi mentor, ikon, dan pembina generasi baharu kewartawanan Arab.

Pemergiannya menandakan berakhirnya satu era penyiaran yang melahirkan Al Jazeera sebagai kuasa media global, dan Jamal kekal sebagai simbol permulaan perjalanan itu. 
 

Must Watch Video