JUARA LaLiga, Barcelona, mengambil maklum kenyataan daripada Presiden Real Madrid, Florentino Perez, berkenaan dakwaan skandal rasuah kelab itu dengan syarikat milik Jose Maria Enriquez Negreira iaitu bekas Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengandil Sepanyol.
Dalam satu sidang media diadakan oleh Perez awal pagi tadi, yang berdurasi hampir satu jam, dia tidak terlepas untuk mengutuk kes itu, selain bercadang untuk menghantar aduan kepada Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA).
Lebih kurang dua jam kemudian, giliran Blaugrana membalas dakwaan tersebut dengan kenyataan tegas untuk menyaman Perez dan Real Madrid.
"Berkenaan sidang akhbar yang diadakan oleh Presiden Real Madrid, Florentino Pérez, jabatan undang-undang kami sedang meneliti segala tuduhannya.
"Ia sedang dianalisis dan langkah-langkah yang perlu diambil sedang dinilai," katanya.
Kes Negreira ialah siasatan rasuah sukan yang melibatkan gergasi Sepanyol itu kerana membuat bayaran berjumlah kira-kira €7.3 juta hingga €8.4 juta (sekitar RM35-40 juta) kepada syarikat milik Jose Maria Enriquez Negreira, bekas Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Sepanyol, antara tahun 2001 hingga 2018.
Barcelona dituduh memberi rasuah kepada pengadil melalui Negreira untuk mendapatkan keputusan perlawanan yang memihak kepada mereka, di bawah persekongkolan rasuah, salah urus, dan pemalsuan dokumen.