INTERNATIONAL
Jangan normalisasikan nyahinsani penduduk Gaza, kata Mexico di ICJ

Wakil Mexico menegaskan di ICJ, bencana kemanusiaan di Gaza "pilihan yang disengajakan, hasil keputusan politik", sedangkan ia sebenarnya boleh dielakkan dan diperbetulkan. - AP
GENEVA: Mexico memberitahu Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada Khamis bahawa nyahinsani seluruh penduduk di Gaza "tidak boleh dinormalisasi", sambil menyifatkan keadaan semasa sebagai saat penting bagi mempertahankan undang-undang dan institusi antarabangsa, lapor Anadolu Ajansi (AA).
"Ini adalah detik penting bukan sahaja untuk mempertahankan peranan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan undang-undang antarabangsa, tetapi juga demi memelihara nilai kemanusiaan sejagat. Dunia tidak sepatutnya dan tidak boleh menormalisasikan nyahinsani terhadap sesuatu bangsa secara keseluruhan," kata wakil Mexico, Pablo Arrocha Olabuenaga, di mahkamah yang berpangkalan di The Hague itu.
"Tiada konflik yang boleh mengorbankan maruah manusia."
Mexico memohon agar mahkamah mengesahkan bahawa semua negara anggota PBB, termasuk Israel, secara sah terikat untuk menghormati keistimewaan dan kekebalan PBB serta agensinya, memudahkan bantuan kemanusiaan, dan mengelakkan sebarang tindakan yang menyekat usaha bantuan di wilayah yang diduduki, kata Arrocha."Realiti yang berlaku di Gaza tidak boleh dan tidak patut dijustifikasikan," katanya. "Kanak-kanak kebuluran. Nyawa melayang."
Beliau berhujah bencana kemanusiaan di Gaza sebagai "pilihan yang disengajakan, hasil keputusan politik", sambil menegaskan ia sebenarnya boleh dielakkan dan diperbetulkan.
Bagi pihak Mexico, beliau menggesa Israel sebagai negara anggota PBB dan kuasa pendudukan agar mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan tanggungjawab hak asasi manusia, termasuk membenarkan dan memudahkan bantuan kemanusiaan tanpa halangan serta memastikan perlindungan terhadap orang awam.
Wakil Mexico yang lain, Patricia Perez, memberitahu mahkamah bahawa situasi di Gaza semakin memburuk saban hari meskipun pelbagai rayuan antarabangsa agar Israel bertindak secara berhemah serta memberikan akses dan perlindungan.
Beliau berkata keadaan yang semakin meruncing itu menekankan keperluan mendesak dari segi undang-undang dan moral dalam kes tersebut, khususnya mengenai kewajipan Israel di bawah undang-undang antarabangsa.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami