JAKARTA: Menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri kurang dua minggu lagi, Komisi Pemberantasan Korupsi (KPK) Indonesia memberi peringatan kepada pegawai-pegawai kerajaan agar tidak menerima sebarang hadiah atau imbuhan daripada pihak luar.

Selain wang, hadiah atau imbuhan lain yang dimaksudkan KPK ialah bingkisan barangan berharga, perkhidmatan, tiket penerbangan dan apa sahaja yang setara.

Sehubungan itu, kesemua pimpinan kementerian, ketua jabatan dan pihak-pihak berkaitan digesa memberi peringatan itu kepada semua pegawai masing-masing agar mengelak daripada menerima apa-apa hadiah sempena Aidilfitri.

“Diingatkan semua pegawai kerajaan agar menolak pemberian wang, bingkisan atau hadiah, perkhidmatan dan bentuk pemberian lain yang berhubungan dengan jabatan dan berlawanan dengan kewajipan dan tugas,” kata jurucakap KPK, Ipi Maryati Kuding seperti dilaporkan media tempatan.

KPK merupakan badan pencegahan rasuah iaitu sama seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut Ipi, sekiranya pegawai-pegawai berkenaan tidak dapat menolak pemberian-pemberian itu, maka mereka diwajibkan melaporkan hal itu kepada KPK dalam tempoh 30 hari kerja sebaik pemberian itu diterima.

Sementara itu, untuk pemberian seperti makanan yang mudah rosak atau sudah tamat tempoh pula akan disalurkan sebagai bantuan sosial ke rumah-rumah kebajikan, anak yatim atau pihak-pihak lain yang memerlukan.

Ipi turut menegaskan, pegawai-pegawai kerajaan juga dilarang meminta dana, sumbangan dan hadiah sebagai Tunjangan Hari Raya (THR) daripada mana-mana pihak berkepentingan baik secara lisan mahupun lisan.

Permintaan sedemikian perlu dielakkan kerana berupaya menjurus pada dakwaan rasuah sekiranya seseorang itu menerimanya.

THR merupakan bayaran bukan gaji atau bersamaan bonus yang wajib dibayar oleh setiap majikan kepada semua pekerja mereka menjelang Hari Raya Aidilfitri atau sambutan hari keagamaan lain.

Dalam masa sama, KPK turut memberi peringatan kepada semua pegawai atau kakitangan kerajaan jangan sesekali menyalah guna kemudahan jabatan untuk kepentingan peribadi.

Antara kemudahan yang dimaksudkan KPK ialah kenderaan rasmi jabatan yang digunakan untuk pulang ke kampung halaman untuk menyambut Aidilfitri atau disebut mudik lebaran.

Sekiranya terdapat mana-mana individu yang menyalah guna kenderaan jabatan mereka boleh dikenakan hukuman.