Skip to main content

Dunia

Jari bayi terpotong ketika proses discaj, hospital Thailand mohon maaf

Loengnoktha Crown Prince Hospital
Insiden itu dilaporkan berlaku ketika kakitangan Hospital Loengnoktha Crown Prince sedang membuat persiapan untuk membenarkan pesakit berkenaan didiscaj pada Jumaat. -Foto laman web
Advertisement

YASOTHON: Pihak pengurusan sebuah hospital di Thailand mengemukakan permohonan maaf selepas seorang pembantu jururawat lelaki secara tidak sengaja memotong sebahagian jari telunjuk kanan seorang bayi berusia setahun.

Insiden itu dilaporkan berlaku ketika kakitangan Hospital Loengnoktha Crown Prince sedang membuat persiapan untuk membenarkan pesakit berkenaan didiscaj pada Jumaat.

Bayi terbabit dimasukkan ke wad sejak 2 September lalu bagi menerima rawatan akibat jangkitan saluran pernafasan dan gastrousus sebelum disahkan pulih sepenuhnya.

Bagaimanapun, kecederaan itu berlaku ketika pembantu jururawat terbabit menggunakan gunting untuk menanggalkan balutan kasa pada tiub intravena pesakit.

Kakitangan berkenaan dipercayai tidak menyedari kedudukan jari bayi tersebut ketika prosedur dijalankan.

Ibu mangsa menerusi hantaran di Facebook mendakwa kejadian itu menyebabkan sebahagian jari telunjuk anaknya terputus dan terjatuh daripada balutan berkenaan.

Susulan kejadian, mangsa diberikan rawatan kecemasan sebelum bahagian jari yang terputus dimasukkan ke dalam bekas berisi ais untuk dibawa ke Hospital Sunpasitthiprasong di Ubon Ratchathani bagi menjalani prosedur penyambungan semula.

Pakar bedah plastik dilaporkan telah menjalankan dua pembedahan ke atas bayi itu. Bagaimanapun, keputusan dan keberkesanan prosedur berkenaan masih dalam penilaian doktor.

Pihak pengurusan hospital mengesahkan pembantu jururawat terbabit telah digantung tugas sementara menunggu siasatan penuh selesai.

Hospital itu turut memberi jaminan untuk menanggung kos rawatan, perjalanan dan pemulihan selain membayar pampasan yang sewajarnya kepada keluarga mangsa.

 

Must Watch Video

Advertisement