KLANG: Pelaksanaan penuh sistem kutipan tol Aliran Bebas Pelbagai Lorong (Multi-Lane Fast Flow- MLFF) dijangka dapat membantu mengatasi isu pencerobohan tol termasuk mengesan pemandu kenderaan yang melakukan kesalahan itu.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sentiasa memantau kecekapan dan keberkesanan sistem tol di seluruh negara yang dibangunkan oleh syarikat konsesi lebuh raya.
Beliau berkata inisiatif dilaksanakan syarikat konsesi kini antaranya meliputi teknologi pembayaran tol berasaskan Pengecaman Nombor Pendaftaran Automatik (ANPR) terutama dalam mengurangkan kesesakan jalan raya.
"Jadi, pelaksanaan Multi-Lane Fast Flow di lorong plaza tol nanti akan turut membantu mendapatkan maklumat mengenai individu yang melakukan pencerobohan tol.
"Ini sekali gus memudahkan untuk kita mengesan pesalah dan membuat tuntutan kepada mereka jika gagal dikesan," katanya pada Majlis Perasmian Inisiatif CSR Keselamatan Jalan Raya Westports-Jabatan Kerja Raya (JKR) Klang di Pelabuhan Barat, di sini hari ini.
Pada 23 Okt lepas, media melaporkan syarikat pengendali dan pemegang konsesi Lebuhraya Kuala Lumpur–Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) menanggung kerugian lebih RM20,000 setahun akibat aktiviti pencerobohan tol berterusan.
Pengurus Besar AFA Systems and Services Sdn Bhd Ismaliza Ibrahim dilaporkan berkata pihaknya merekodkan kira-kira 3,000 transaksi pencerobohan setahun atau purata lapan kes sehari.
Pada 13 Okt lepas, Alexander memaklumkan teknologi kecerdasan buatan (Al) akan turut digunakan dalam pelaksanaan MLFF apabila sistem itu dilaksanakan sepenuhnya kelak.
Mengikut Seksyen 8 Akta Jalan Persekutuan (Pengurusan Persendirian) 1984, individu yang menceroboh tol boleh dikenakan denda tidak kurang RM2,000 dan tidak lebih RM5,000 atau hukuman penjara hingga setahun, jika sabit kesalahan.
Alexander berkata isu pencerobohan tol sememangnya telah lama berlaku meskipun melibatkan nisbah kes yang kecil dan pihaknya kini sedang bekerjasama rapat dengan agensi penguatkuasaan seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta polis bagi mengatasinya.
Berhubung persiapan menghadapi musim Monsun Timur Laut (MTL), Nanta berkata pihaknya dalam kesiapsiagaan penuh termasuk mempertingkat keberkesanan Bilik Gerakan Bencana (BiGBen).
"Kita menerusi bilik gerakan itu sentiasa bersiap sedia menjalankan pemantauan bagi mengenal pasti apa-apa bencana terutama banjir di lokasi yang terjejas," katanya.
Dalam pada itu, Nanta berkata objektif utama program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan Westports bertujuan meningkatkan kesedaran dan keselamatan di kawasan pelabuhan yang digunakan hampir 80,000 kenderaan terutama jentera berat setiap hari.
"Langkah itu antaranya menerusi pemasangan pepaku jalan, jalur gegar, papan tanda amaran selain pencahayaan, penandaan jalan serta pengurusan kelajuan yang berkesan.
"Selain itu, kita mengambil kira cadangan untuk menyediakan lorong atau laluan khas kepada penunggang motosikal yang menjadi golongan tertinggi mangsa kemalangan di kawasan tersebut," katanya.
-- BERNAMA