Skip to main content

Malaysia

JKDM kutip hasil RM70.15 bilion setakat September

Amran berkata pencapaian itu mencerminkan sumbangan berterusan jabatan berkenaan dalam memperkukuh kedudukan fiskal dan menyokong pembangunan negara. - Gambar fail/Bernama
Amran berkata pencapaian itu mencerminkan sumbangan berterusan jabatan berkenaan dalam memperkukuh kedudukan fiskal dan menyokong pembangunan negara. - Gambar fail/Bernama

Advertisement

MELAKA: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merekodkan kutipan hasil sebanyak RM70.15 bilion hingga 30 Sept lepas, meningkat 23.06 peratus atau RM13.145 bilion berbanding tempoh sama tahun lepas.

Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri Amran Ahmad berkata pencapaian itu mencerminkan sumbangan berterusan jabatan berkenaan dalam memperkukuh kedudukan fiskal dan menyokong pembangunan negara.

“Seiring dengan perkembangan perdagangan antarabangsa dan peningkatan ancaman rentas sempadan, peranan JKDM turut berkembang daripada pentadbiran hasil kepada institusi kastam moden yang memainkan peranan strategik di pintu masuk utama negara.

“JKDM melaksanakan tiga teras utama iaitu kutipan hasil, permudahan perdagangan dan penguatkuasaan undang-undang bagi memperkukuh ekonomi, memudah cara perdagangan yang sah serta melindungi keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Istiadat Mengarak Gencana Diraja Kastam sempena Ulang Tahun ke-63 Penganugerahan Gelaran Diraja kepada JKDM di Akademi Kastam Diraja Malaysia (AKMAL) di sini hari ini.

Amran berkata pada 29 Okt 1963, Jabatan Kastam dan Eksais, yang kini dikenali sebagai JKDM, dianugerahkan gelaran Diraja oleh Yang di-Pertuan Agong ketiga, Almarhum Tuanku Syed Putra Al-Haj Ibni Al-Marhum Syed Hassan Jamalullail, sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan jabatan itu kepada pembangunan negara.

Beliau berkata ketika itu, hasil kastam dan eksais menyumbang lebih 50 peratus daripada keseluruhan hasil tahunan kerajaan Persekutuan.

“Gelaran Diraja bukan sekadar kebanggaan yang diwarisi, sebaliknya amanah besar yang perlu dipelihara melalui mutu perkhidmatan, disiplin dan integriti setiap warga jabatan.

“Setiap keputusan, tindakan dan perkhidmatan yang diberikan perlu mencerminkan kewibawaan gelaran Diraja yang dijunjung oleh JKDM,” katanya.

Istiadat hari ini turut menyaksikan perarakan Gencana Diraja, perbarisan Kawalan Kehormatan Kastam yang diiringi Pancaragam JKDM serta pemeriksaan baris kawalan kehormatan.

Gencana Diraja yang diarak itu melambangkan identiti, maruah dan kesinambungan amanah seluruh warga JKDM dalam berkhidmat kepada raja, negara dan rakyat.

Sempena ulang tahun ke-63 itu, JKDM menegaskan komitmen untuk terus mempertingkat kecemerlangan perkhidmatan, kewibawaan penguatkuasaan dan integriti warga jabatan selaras dengan aspirasinya demi kepentingan rakyat dan negara.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement