SAN DIEGO: Seramai 800 individu ditahan disyaki terlibat dengan sindiket jenayah terancang global di beberapa negara yang melakukan pengedaran dadah dan pengubahan wang haram.

Tangkapan sindiket ini membawa kepada penyitaan 32 tan dadah, 250 senjata, AS$148 juta wang tunai dan 55 kereta mewah serta mata wang kripto.

Operasi Trojan Shield itu dijalankan Biro Penyiasatan Persekutuan Amerika Syarikat (FBI), agensi polis Kesatuan Eropah dan agensi penguatkuasaan undang-undang di beberapa negara.

Kesemua suspek ditahan dalam serbuan di 16 negara termasuk di Australia, Asia, Eropah, Amerika Selatan dan Asia Barat yang terlibat dalam perdagangan narkotik.

Operasi sejak 2018 itu bermula ketika penguatkuasa undang-undang menahan syarikat dikenali sebagai Phantom Secure yang memberikan peranti sulit kepada penjenayah.

Tidak seperti telefon bimbit biasa, peranti itu tidak membuat panggilan telefon atau melayari internet namun membenarkan mesej dihantar tanpa dikesan.

Ketika perkembangan operasi, FBI merekrut seorang kolaborator yang membangunkan platform mesej selamat generasi akan datang bagi dunia jenayah yang disebut sebagai anom.

Kolaborator itu mencipta sistem itu untuk memberi FBI akses kepada semua mesej yang dihantar.

Anom tidak digunakan segera namun platform mesej selamat lain digunakan kumpulan jenayah mengatur perdagangan dadah dan pengubahan wang haram berjaya dijejaki polis.

Selama 18 bulan lalu, FBI memberikan telefon bimbit itu melalui orang tengah kepada lebih daripada 300 kumpulan jenayah yang beroperasi di lebih 100 negara.

Operasi ini dilihat memberi kesan besar kepada rangkaian jenayah terancang di seluruh dunia.