KAMPALA: Uganda melancarkan fasa pertama pemindahan badak sumbu putih selatan ke Taman Negara Lembah Kidepo di timur laut negara itu pada Selasa, menandakan kepulangan spesies berkenaan selepas lebih 40 tahun lenyap dari kawasan berkenaan, lapor Xinhua.
Pihak Berkuasa Hidupan Liar Uganda (UWA) dalam satu kenyataan berkata, dua ekor badak sumbu pertama telah berjaya dipindahkan dari Santuari Badak Sumbu Ziwa di tengah Uganda.
Advertisement
"Pemindahan badak sumbu ini adalah langkah pertama dalam memulihkan spesies yang pernah menjadi sebahagian daripada warisan semula jadi taman ini," kata Pengarah Eksekutif UWA, James Musinguzi.
Beliau berkata lebih banyak badak sumbu akan diperkenalkan bagi membina semula populasi yang mampan dan berkembang maju.
Menurut UWA, populasi badak sumbu di kawasan itu pupus akibat pemburuan haram yang berleluasa dan ketidakstabilan keselamatan pada akhir 1970-an serta awal 1980-an, dengan badak sumbu terakhir di taman itu dibunuh pada 1983 di Lembah Narus.
Langkah pengenalan semula ini adalah sebahagian daripada Strategi Pemuliharaan Badak Sumbu Kebangsaan Uganda untuk memulihkan populasi haiwan itu dalam habitat asal mereka serta memperkukuh usaha pemuliharaan jangka panjang.
Usaha pemulihan badak sumbu di Uganda bermula pada 2005 di Ziwa. Import lapan ekor badak sumbu dari Afrika Selatan baru-baru ini telah membolehkan usaha pemulihan diperluas ke habitat baharu.
Pihak berkuasa menambah bahawa Uganda kini mempunyai sebanyak 61 ekor badak sumbu secara keseluruhan.
--BERNAMA-XINHUA