MOSCOW: Pegawai kanan Jepun dan Korea Selatan pada Khamis menyuarakan kebimbangan mereka terhadap potensi kerjasama ketenteraan antara Moscow dan Pyongyang, yang didakwa dibincangkan semasa mesyuarat peringkat tertinggi Rusia-Korea Utara baru-baru ini, lapor Sputnik.

Pada Rabu, Presiden Rusia Vladimir Putin dan pemimpin Korea Utara Kim Jong Un mengadakan pertemuan di pusat angkasa lepas Vostochny, Rusia.

Ia merupakan lawatan pertama Kim ke Rusia sejak 2019.

Antara topik yang didakwa dibincangkan ialah Moscow memberi bantuan kepada Pyongyang membangunkan peluru berpandunya sebagai pertukaran penghantaran senjata.

"Mengenai keputusan sidang kemuncak itu, (kerajaan Jepun) tidak dalam kedudukan untuk membuat sebarang komen. Hubungan dengan Korea Utara, transaksi senjata dan transaksi material yang berkaitan telah diharamkan oleh resolusi (Majlis) Keselamatan PBB dan potensi pelanggaran dilihat dan kami memantau perkara ini," kata Ketua Setiausaha Kabinet Jepun Hirokazu Matsuno pada Khamis.

Beliau menambah bahawa Jepun menyeru negara ketiga untuk menghentikan bekalan senjata ke Moscow di tengah-tengah operasi ketenteraan Rusia di Ukraine.

Menteri Penyatuan Korea Selatan Kim Yung-ho juga menyatakan kebimbangan yang mendalam terhadap potensi kerjasama ketenteraan Rusia-Korea Utara.

"Kami juga perlu memahami keputusan terperinci sidang kemuncak Kim-Putin, tetapi kami amat bimbang tentang (potensi) kerjasama ketenteraan dan transaksi senjata antara kedua-dua negara," agensi berita Yonhap memetik menteri itu sebagai berkata.

Beliau menggesa Moscow dan Pyongyang menghentikan "perbuatan melulu" dan mengikuti norma antarabangsa, termasuk resolusi Majlis Keselamatan PBB.

Pada Rabu, jurucakap Kremlin Dmitry Peskov berkata bahawa semasa lawatan itu, pemimpin Korea Utara itu menyatakan minat dalam penjagaan kesihatan, pendidikan dan bidang kemanusiaan.

Agensi Berita Pusat Korea (KCNA) melaporkan bahawa Kim dan Putin juga telah membincangkan pengukuhan kerjasama strategik dua hala dan sokongan dalam perjuangan bersama menentang ancaman dan provokasi ketenteraan.

-- BERNAMA