TOKYO: Jepun memulakan fasa kedua pelepasan air tercemar daripada loji kuasa nuklear Fukushima yang musnah ke Lautan Pasifik pada Khamis, selepas fasa pertama dijalankan dalam had keselamatan yang ditetapkan antara 24 Ogos dan 11 Sept.

Fasa kedua pelepasan bermula kira-kira 10.30 pagi dan dijadualkan berterusan hingga 23 Okt, dengan anggaran jumlah pelepasan keseluruhan sebanyak 7,800 tan, hampir sama dengan jumlah fasa pertama.

Pelepasan harian dijangka sebanyak 460 tan, Agensi Berita Yonhap memetik laporan media Jepun.

Pengendali loji, Tokyo Electric Power Co. merancang untuk melepaskan air yang disimpan dalam tangki selepas dirawat melalui sistem penulenan khas dikenali sebagai Sistem Pemproses Cecair Lanjutan (ALPS) sejak kemusnahannya pada Mac 2011, melalui terowong laut yang memanjang sejauh 1 kilometer ke lautan.

ALPS boleh membuang 62 jenis bahan radioaktif, kecuali tritium yang boleh dikurangkan ke tahap keselamatan antarabangsa melalui pencairan dengan air laut.

Kerajaan Jepun, kerajaan wilayah Fukushima dan Tokyo Electric telah secara kerap menganalisis kepekatan tritium dalam air laut dan ikan di sekitar loji janakuasa nuklear sejak permulaan pelepasan pertama dan tidak melaporkan sebarang ketidaknormalan.

Pada Rabu, Tokyo Electric sekali lagi mengukur kepekatan tritium dalam air sisa yang dirawat dan dicairkan dan mendapati ia mencapai 87 becquerel seliter, lebih rendah daripada piawaian pelepasan.

-- BERNAMA