Jepun salur bantuan AS$25.6 juta kepada Ukraine untuk pembersihan periuk api - Kementerian Luar

Kerjasama ini bertujuan memudah cara pemulihan awal Ukraine daripada kerosakan perang, termasuk pencemaran periuk api.
TOKYO: Jepun akan menyalurkan bantuan bernilai 4 bilion yen (kira-kira AS$25.6 juta) kepada Ukraine bagi kerja-kerja pembersihan periuk api, menurut Kementerian Luar Jepun pada Rabu, lapor Sputnik/RIA Novosti.
Pada Selasa, Duta Jepun ke Kyiv, Masashi Nakagome dan Menteri Dalam Negeri Ukraine Ihor Klymenko menandatangani serta bertukar nota bagi menyalurkan bantuan di bawah Program Tindak Balas Kecemasan untuk Tindakan Kemanusiaan Periuk Api dan Pelupusan Bahan Letupan Tidak Meletup (UXO).
"Kerjasama ini bertujuan memudah cara pemulihan awal Ukraine daripada kerosakan perang, termasuk pencemaran periuk api, melalui penyediaan peralatan dan bahan bagi pembersihan periuk api serta bahan letupan tidak meletup, rawatan perubatan serta penjagaan mangsa letupan, dan aktiviti pendidikan mengelakkan risiko, dengan memanfaatkan teknologi Jepun.
"Ini sekali gus menyumbang kepada pemulihan serta pembinaan semula Ukraine dengan lebih cepat," kata kementerian itu dalam satu kenyataan.
Pada 2005, Ukraine telah meratifikasi Konvensyen Ottawa 1999 yang melarang penggunaan, penyimpanan dan pengeluaran periuk api pembinasa anggota. Namun, pada 29 Jun 2025, Presiden Volodymyr Zelenskyy menandatangani dekri mengumumkan penarikan diri Ukraine daripada konvensyen itu.
Ukraine juga merupakan negara penandatangan Protokol V (berkaitan Sisa Letupan Perang) di bawah Konvensyen Senjata Konvensional Tertentu (CCW), yang diterima pakai pada 28 Nov 2003 dan berkuat kuasa pada 12 Nov 2006.
Protokol itu mengkehendaki negara pihak membersihkan sisa letupan perang, termasuk bahan letupan tidak meletup dan bahan letupan ditinggalkan. Konvensyen ini bertujuan mengehadkan penggunaan senjata konvensional tertentu yang boleh menyebabkan kecederaan serius.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


