BISNES
Jepun setuju tarif timbal balik 15 peratus - Trump

Trump (foto) mengumumkan perjanjian perdagangan penting dengan Jepun yang melibatkan tarif timbal balik sebanyak 15 peratus dan pengurangan separuh tarif tambahan ke atas kereta Jepun. -Gambar fail
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Selasa mengumumkan bahawa beliau telah mencapai perjanjian perdagangan "penting" dengan Jepun, yang menyaksikan negara Asia itu bersetuju dengan tarif timbal balik sebanyak 15 peratus, lapor Kyodo News.
Ringkasan AI
- Presiden AS Donald Trump mengumumkan perjanjian perdagangan penting dengan Jepun yang melibatkan tarif timbal balik sebanyak 15 peratus dan pengurangan separuh tarif tambahan ke atas kereta Jepun.
- Jepun berjaya mengelak duti khusus 25 peratus dengan mencapai perjanjian sebelum tarikh akhir 1 Ogos, dan akan melabur sebanyak US$550 bilion di AS serta membentuk usaha sama projek LNG di Alaska.
- Perjanjian ini merupakan yang kelima dalam kempen tarif agresif Trump selepas perjanjian dengan Britain, Vietnam, Indonesia dan Filipina, dengan rundingan bersama ketua perunding Jepun Ryosei Akazawa berlangsung sejak April.
Pengumuman itu dibuat selepas ketua perunding tarif Jepun Ryosei Akazawa bertemu dengan Trump di Rumah Putih. Akazawa tiba di Washington pada Isnin untuk rundingan secara bersemuka buat kali kelapan bersama anggota Kabinet AS.
Jepun dijangka dikenakan duti khusus sebanyak 25 peratus ke atas barangannya sekiranya perjanjian tidak dicapai dengan pentadbiran Trump sebelum 1 Ogos, apabila tempoh penangguhan tarif timbal balik Trump yang menyasarkan puluhan rakan dagang utama AS akan tamat.
Trump berkata "atas arahan saya", Jepun akan melabur sebanyak US$550 bilion di Amerika Syarikat di bawah perjanjian itu.
Trump kemudian berkata dalam satu acara di Rumah Putih bahawa beliau "baru sahaja menandatangani perjanjian perdagangan terbesar dalam sejarah" dengan Jepun, sambil mengumumkan kedua-dua negara akan membentuk usaha sama bagi projek gas asli cecair (LNG) di Alaska.
Beberapa minggu sebelum perjanjian pada Selasa, Trump memberi isyarat bahawa usaha mencapai persetujuan dengan Jepun sebelum tarikh akhir 1 Ogos adalah sukar.
Beliau turut meningkatkan tekanan dengan mengulangi dakwaan bahawa sekutu utama AS itu enggan mengimport kereta dan produk pertanian dari Amerika.
Sejak rundingan antara Jepun dan AS bermula pertengahan April lalu, pasukan Akazawa memberi tumpuan kepada usaha memujuk pentadbiran Trump menyemak semula tarif ke atas kenderaan yang dinaikkan sebanyak 25 mata peratusan kepada 27.5 peratus pada April.
Akazawa menulis di platform media sosial X bahawa "misi saya telah selesai."
Perjanjian dengan Jepun itu merupakan yang kelima sejak bermulanya kempen tarif agresif Trump semasa penggal keduanya, selepas perjanjian yang dicapai dengan Britain, Vietnam, Indonesia dan Filipina, yang turut diumumkan oleh Presiden AS pada Selasa.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami