MOSCOW: Jerman tidak lagi menjadi destinasi utama bagi pencari suaka di Kesatuan Eropah, apabila jatuh ke tempat keempat buat kali pertama sejak 2015 dalam statistik permohonan suaka blok itu, menurut laporan akhbar Welt am Sonntag yang memetik dokumen sulit Suruhanjaya Eropah.
Jumlah permohonan suaka kali pertama di Jerman menurun sebanyak 23 peratus tahun ke tahun pada suku pertama kepada 28,922, lapor akhbar itu. Susulan itu, Jerman berada di tempat keempat dalam EU, di belakang Perancis, Sepanyol dan Itali.
Advertisement
Pakar mengaitkan penurunan itu dengan kawalan sempadan darat yang lebih ketat di Jerman, dasar migrasi kerajaan yang lebih tegas, serta pengurangan aliran pelarian dari Syria dan Ukraine, menurut laporan itu.
Pada masa sama, rakyat Afghanistan kekal sebagai kumpulan terbesar pencari suaka di Jerman, merangkumi sehingga 38 peratus daripada semua permohonan, menurut laporan itu.
Menteri Dalam Negeri Jerman, Alexander Dobrindt, pada Mei 2025 membatalkan arahan 2015 yang sebelum ini membenarkan pencari suaka memasuki negara itu.
Di bawah dasar baharu, migran boleh ditolak kemasukan mereka di sempadan sekiranya mereka memohon suaka di negara EU lain, walaupun pengecualian diberikan kepada kumpulan rentan seperti wanita hamil dan kanak-kanak. Beliau juga mengumumkan peningkatan jumlah anggota polis persekutuan bagi menjalankan pemeriksaan sempadan.
-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI