Skip to main content

Dunia

Hubungan ekonomi Kanada-AS kini lebih banyak mudarat - PM Mark Carney

Sumber: REUTERS
Perdana Menteri Mark Carney berkata, hubungan ekonomi yang terjalin rapat antara negaranya dan Amerika Syarikat selama beberapa dekad kini telah bertukar menjadi satu “kelemahan” yang perlu diperbetulkan. - Gambar fail Reuters

OTTAWA: Perdana Menteri Kanada, Mark Carney berkata, hubungan ekonomi yang terjalin rapat antara negaranya dan Amerika Syarikat (AS) selama beberapa dekad kini telah bertukar menjadi satu “kelemahan” yang perlu diperbetulkan, ketika landskap geopolitik dan perdagangan global semakin mencabar.

Carney menyampaikan pandangan itu menerusi rakaman video berdurasi 10 minit yang dimuat naik pada Ahad, dengan menegaskan, Kanada perlu mengurangkan kebergantungan berlebihan terhadap mana-mana satu negara dan memperkukuh hubungan ekonomi dengan rakan dagang lain.

Advertisement

“Dunia kini semakin berbahaya dan terpecah-belah,” kata Carney. “Amerika Syarikat telah mengubah secara asas pendekatan perdagangannya, dengan menaikkan tarif ke paras yang kali terakhir disaksikan ketika era Kemelesetan Besar.”

Beliau berkata, banyak kekuatan Kanada sebelum ini yang berpaksikan hubungan erat dengan AS kini telah bertukar menjadi kelemahan.

“Kelemahan yang perlu kita perbetulkan,” katanya.

Kenyataan itu merupakan yang terbaharu daripada Carney yang menandakan perubahan ketara dalam hubungan Kanada-AS selepas puluhan tahun integrasi ekonomi, ketika ancaman tarif lebih tinggi oleh Presiden AS, Donald Trump, menggugat hubungan perdagangan Washington dengan sekutu dan lawan di seluruh dunia.

Kenyataan Trump sebelum ini yang mencetuskan kontroversi, termasuk cadangan agar Kanada menjadi sebuah negeri AS, turut menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat Kanada.

Dalam satu babak rakaman tersebut, Carney mengangkat patung askar mainan yang menggambarkan Jeneral Isaac Brock, komander tentera British yang pernah menentang pasukan AS dalam Perang 1812 semasa pencerobohan ke atas wilayah yang kini dikenali sebagai Kanada.

“Situasi hari ini mungkin kelihatan unik, tetapi kita pernah berdepan ancaman seperti ini sebelum ini,” katanya.

Kerajaan Parti Liberal pimpinan Carney baru-baru ini memperoleh majoriti Parlimen dalam pilihan raya khas awal bulan ini, sekali gus memberi beliau lebih ruang untuk bergerak dalam isu-isu ekonomi utama, termasuk hubungan perdagangan dengan AS.

Penilaian semula perjanjian perdagangan bebas antara AS, Kanada dan Mexico (USMCA) dijadualkan berlangsung pada Julai ini.

Carney dilantik sebagai Perdana Menteri pada 2025 selepas berkempen dengan janji untuk mengambil pendirian tegas terhadap apa yang dilihat kebanyakan warga Kanada sebagai sikap bermusuhan AS yang tidak berasas.

Walaupun ketegangan antara Trump dan Carney dilaporkan semakin mereda dan beberapa tarif telah ditarik balik, pemimpin Kanada itu tetap mengorak langkah ke arah memperkukuh hubungan ekonomi dengan negara lain, termasuk China, bagi mengurangkan kebergantungan terhadap AS.

“Kita perlu menjaga kepentingan sendiri kerana kita tidak boleh bergantung kepada satu rakan asing sahaja,” kata Carney. 

“Kita tidak boleh mengawal gangguan yang datang daripada negara jiran. Kita juga tidak boleh meletakkan masa depan kita kepada harapan bahawa ia akan tiba-tiba berakhir.” - Agensi

Must Watch Video