Skip to main content

Dunia

Skandal Mandelson: PM UK, Keir Starmer diasak Ahli Parlimen, gesaan letak jawatan meningkat

Sumber: REUTERS/AP
Starmer (kiri) kini bergelut meredakan kemarahan susulan pendedahan terbaharu berkaitan pelantikan Mandelson sebagai Duta Britain ke Amerika Syarikat. - Gambar fail Reuters/AP

LONDON: Perdana Menteri United Kingdom (UK), Keir Starmer, dijadualkan berdepan Ahli Parlimen pada Isnin (20 April) ketika beliau terus ditekan berhubung skandal berterusan melibatkan Peter Mandelson, sekutu lama mendiang Jeffrey Epstein.

Starmer yang berdepan tahap populariti rendah dalam kalangan rakyat Britain serta sebahagian Ahli Parlimen Parti Buruh, kini bergelut meredakan kemarahan susulan pendedahan terbaharu berkaitan pelantikan Mandelson sebagai Duta Britain ke Amerika Syarikat.

Advertisement

Kontroversi itu kembali memuncak pada Khamis apabila didedahkan bahawa Mandelson dinamakan sebagai duta pada akhir 2024 walaupun gagal melepasi proses tapisan keselamatan, sekali gus mencetuskan gesaan baharu supaya Starmer meletakkan jawatan.

Pada Jumaat, pemimpin itu menegaskan, beliau dan menteri-menteri lain tidak dimaklumkan mengenai kegagalan Mandelson melepasi tapisan berkenaan, sambil menyifatkan kelalaian tersebut sebagai “tidak boleh dimaafkan.”

Starmer dijangka memberikan penjelasan lanjut menerusi satu kenyataan di Dewan Rakyat pada Isnin sebelum berdepan sesi soal jawab oleh Ahli Parlimen.

Beliau turut menyalahkan pegawai Kementerian Luar yang didakwa membenarkan pelantikan itu dibuat bertentangan dengan nasihat pegawai keselamatan. 

Susulan itu, Starmer memecat ketua penjawat awam kementerian berkenaan, Olly Robins, pada Khamis.

Namun, beberapa bekas penjawat awam mendakwa, Starmer cuba menjadikan Robins sebagai kambing hitam. 

Robins dijadualkan memberi keterangan sendiri kepada sebuah jawatankuasa Parlimen pada Selasa, dalam apa yang disifatkan sebagai minggu kritikal bagi kepimpinan Starmer yang hampir mencecah dua tahun.

Pemimpin pembangkang pula menggesa Starmer berundur, dengan tuduhan terhadapnya merangkumi ketidakcekapan serta sengaja mengelirukan Parlimen dan orang awam.

Pada Februari lalu, Starmer memberitahu Parlimen bahawa “semua proses sewajarnya” telah dipatuhi ketika Mandelson ditapis dan diluluskan untuk jawatan penting berkenaan.

Pejabat Perdana Menteri di Downing Street menegaskan, kenyataan itu masih tepat kerana peraturan kerajaan membenarkan Kementerian Luar untuk mengatasi kebimbangan tapisan keselamatan, tanpa pengetahuan Starmer dan pasukan kanan beliau.

Pada Jumaat, pejabat Starmer mengambil langkah luar biasa dengan mendedahkan satu memorandum yang menyatakan beliau hanya dimaklumkan mengenai kegagalan tapisan keselamatan itu pada Selasa minggu lalu.

Beberapa menteri tampil mempertahankan Starmer sepanjang hujung minggu, termasuk Setiausaha Teknologi, Liz Kendall dan Timbalan Perdana Menteri, David Lammy yang menegaskan, Mandelson tidak akan dilantik sekiranya Starmer mengetahui beliau tidak memperoleh kelulusan keselamatan sewajarnya.

“Saya percaya beliau seorang yang jujur dan berintegriti, dan beliau sendiri mengakui pelantikan Mandelson itu satu kesilapan,” kata Kendall kepada Sky News.
Siasatan polis

Kendall turut menegaskan, Starmer wajar kekal sebagai Perdana Menteri kerana telah “membuat keputusan tepat” dalam isu-isu besar, termasuk usaha merapatkan hubungan dengan Kesatuan Eropah serta mengehadkan penglibatan Britain dalam konflik Iran.

Tinjauan pendapat menunjukkan Starmer antara Perdana Menteri Britain paling tidak popular dalam sejarah, sebahagiannya akibat beberapa kesilapan dasar.

Beliau sebelum ini berulang kali dipersoalkan mengenai pertimbangannya memilih Mandelson, memandangkan hubungan persahabatan bekas duta itu dengan Epstein sudah lama diketahui umum. 

Starmer juga pernah berdepan gesaan daripada Ketua Parti Buruh Scotland supaya meletakkan jawatan awal tahun ini.

Starmer memecat Mandelson pada September 2025 selepas butiran baharu didedahkan berhubung hubungan rapat bekas diplomat itu dengan Epstein, yang meninggal dunia dalam penjara pada 2019 ketika berdepan pertuduhan pemerdagangan seks.

Polis UK kini menyiasat dakwaan salah laku jawatan membabitkan Mandelson ketika beliau berkhidmat sebagai menteri Parti Buruh lebih 15 tahun lalu. 

Mandelson ditahan dan dibebaskan pada Februari lalu.

Mandelson, 72, bagaimanapun, belum didakwa dan menafikan sebarang salah laku jenayah.

Starmer dan Parti Buruh kini bersiap sedia menghadapi pilihan raya tempatan yang dijangka mencabar bulan depan, termasuk di Parlimen Scotland dan Wales.

Keputusan pilihan raya itu berpotensi menghidupkan semula persoalan mengenai masa depan politik Starmer, meskipun ketika ini dilihat tidak banyak sokongan dalam Parti Buruh untuk mencetuskan cabaran kepimpinan, selain ketiadaan calon pengganti yang jelas dan konflik berterusan di Asia Barat. - Agensi

Must Watch Video