Skip to main content

Dunia

Jerman siasat 120 lagi kes dikaitkan dengan jururawat pembunuh

81740987302_InjectionSyringe.jpg
Menurut mahkamah, jururawat Jerman itu memberikan dos ubat penenang secara berlebihan kepada pesakit yang sakit tenat ketika syif malam di sebuah hospital di Bandar Wurselen, di luar Aachen, kadangkala digabungkan dengan ubat tahan sakit dan dalam sesetengah kes dilakukan berulang kali. - Foto hiasan
Advertisement

BERLIN: Pendakwa raya Jerman sedang menyiasat lebih 120 kes tambahan disyaki melibatkan seorang bekas jururawat yang dijatuhi hukuman kerana membunuh 10 pesakit, menurut pihak berkuasa pada Isnin.

Pendakwa raya di Bandar Aachen, barat Jerman, setakat ini mengarahkan 39 penggalian semula mayat, manakala pendakwa raya di Cologne menjalankan penggalian tujuh mayat, kata seorang jurucakap kepada dpa.

Mahkamah Wilayah Aachen pada November lepas menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadap bekas jururawat itu kerana 10 kes pembunuhan dan 27 cubaan membunuh. Mahkamah turut mendapati kesalahan itu mempunyai tahap keseriusan khusus, yang lazimnya menafikan kemungkinan pembebasan selepas 15 tahun.

Menurut mahkamah, jururawat Jerman itu memberikan dos ubat penenang secara berlebihan kepada pesakit yang sakit tenat ketika syif malam di sebuah hospital di Bandar Wurselen, di luar Aachen, kadangkala digabungkan dengan ubat tahan sakit dan dalam sesetengah kes dilakukan berulang kali. Lelaki itu menafikan dakwaan berkenaan di mahkamah.

Kesalahan yang disabitkan berlaku antara Disember 2023 dan Mei 2024. Siasatan terbaharu pula melibatkan kes pembunuhan yang disyaki berlaku sebelum tempoh berkenaan.

Lelaki itu bekerja di Hospital Wurselen sejak 2020 dan penyiasat kini meneliti kes yang berlaku seawal September 2022. Lebih banyak kes mungkin dikenal pasti, kata pendakwa raya.

Pendakwa raya Aachen sebelum ini berkata selepas sabitan itu yang mereka berkemungkinan akan membuat pertuduhan tambahan. Tarikh pendakwaan masih belum ditetapkan, namun pendakwa raya menjangkakan ia berlaku pada tahun depan, kata jurucakap berkenaan.

Pendakwa raya Cologne turut menyiasat kes pembunuhan yang disyaki berlaku kerana lelaki itu pernah bekerja di sebuah hospital di bandar berkenaan sehingga 2020. Siasatan itu amat kompleks dan akan mengambil masa yang panjang, kata seorang jurucakap.

--BERNAMA-dpa

 

Must Watch Video

Advertisement