Skip to main content

Dunia

Jerman tuduh Rusia dalangi serangan dron di Lapangan Terbang Leipzig

FILE PHOTO: A police officer in protective clothing works at Leipzig/Halle Airport in Schkeuditz, Germany, August 5, 2026, after the police said explosives experts examined a drone near a runway, and after a DHL cargo aircraft hit an unknown object as it was climbing away from the airport overnight, prompting an unscheduled landing in Hanover, according to a source familiar with the incident. REUTERS/Axel Schmidt/File Photo
Seorang pegawai polis berpakaian perlindungan menjalankan pemeriksaan di Lapangan Terbang Leipzig/Halle di Schkeuditz, Jerman. - Foto REUTERS
Advertisement

BERLIN: Jerman secara rasmi menuduh Rusia berada di sebalik serangan dron yang menyasarkan Lapangan Terbang Leipzig/Halle bulan lalu, sekali gus mencetuskan ketegangan baharu dalam hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

Menteri Dalam Negeri Jerman, Alexander Dobrindt, berkata siasatan terhadap insiden pada 4 Ogos lalu mendapati serangan itu menepati corak operasi hibrid Rusia yang sebelum ini dilaporkan berlaku di beberapa negara Eropah.

Menurut beliau, sebuah dron yang membawa bahan letupan ditemui berhampiran pesawat kargo Ukraine di lapangan terbang tersebut, namun gagal meletup kerana dipercayai mengalami kerosakan pada sistem pencetus.

Penyiasat juga mengesyaki sebuah lagi dron telah berlanggar dengan pesawat kargo di kawasan berhampiran, manakala dron ketiga ditemui kira-kira 10 hari kemudian.

“Pemeriksaan terhadap peralatan yang digunakan serta maklumat perisikan yang diperoleh membuktikan penglibatan Rusia dalam serangan itu,” kata Dobrindt pada sidang media di Berlin.

Bagaimanapun, Kedutaan Rusia di Berlin menolak dakwaan berkenaan dan menyifatkannya sebagai “tidak masuk akal”.

Susulan pengumuman itu, Menteri Luar Jerman, Johann Wadephul, memaklumkan bahawa Berlin akan menutup Konsulat Rusia di Bonn serta menamatkan kontrak operasi Russian House di Berlin, sebuah pusat kebudayaan yang menurut pemerhati sering dikaitkan dengan kegiatan perisikan dan penyebaran propaganda Rusia.

Beliau turut mengumumkan kawalan kemasukan yang lebih ketat ke atas warga Rusia serta usaha meningkatkan tekanan terhadap “armada bayangan” Rusia, iaitu kapal tangki lama yang digunakan bagi mengelak sekatan Barat yang dikenakan selepas pencerobohan Ukraine pada 2022.

Wadephul juga memanggil Duta Rusia ke Jerman, Sergei Nechayev, untuk memberikan penjelasan berhubung insiden tersebut.

Sebagai tindak balas, jurucakap Kementerian Luar Rusia, Maria Zakharova, berkata Moscow akan mengambil langkah balas yang setimpal terhadap tindakan Jerman.

Kedutaan Rusia pula menyifatkan keputusan Berlin itu sebagai “eskalasi yang belum pernah berlaku sebelum ini dalam hubungan Rusia-Jerman”.

Zakharova turut menuduh Jerman menyokong apa yang disifatkannya sebagai “keganasan” menerusi bantuan ketenteraan dan ekonomi kepada Ukraine.

Lapangan Terbang Leipzig/Halle mempunyai kepentingan strategik kerana digunakan oleh tentera Jerman dan sekutu NATO untuk pengangkutan logistik ketenteraan.

Ia juga menjadi pangkalan operasi Antonov Airlines dari Ukraine yang mengendalikan sebahagian besar kargo udara negara itu.

Setiausaha Agung NATO, Mark Rutte, menyuarakan solidariti penuh terhadap Jerman dan menyambut baik langkah yang diumumkan Berlin sebagai tindak balas terhadap insiden tersebut.

Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen, turut menegaskan bahawa Kesatuan Eropah (EU) kekal bersatu dalam menghadapi apa yang digambarkannya sebagai pencerobohan Rusia, sambil memaklumkan bahawa blok itu sedang menyediakan sekatan tambahan terhadap Moscow.

Perdana Menteri Poland, Donald Tusk, pula berkata Rusia sedang meningkatkan ketegangan di seluruh rantau Eropah.

Pada masa sama, pihak berkuasa Poland sedang menyiasat sama ada perkhidmatan perisikan asing terlibat dalam kebakaran di sebuah kilang komponen dron di negara itu.

Perdana Menteri Britain, Andy Burnham, turut mengecam sebarang usaha Rusia untuk melemahkan sokongan negara-negara Barat terhadap Ukraine, sambil menegaskan bahawa percubaan tersebut tidak akan berjaya.

Sejak setahun lalu, beberapa negara anggota NATO melaporkan penampakan dron mencurigakan berhampiran lapangan terbang, kemudahan tentera dan tapak perindustrian.

Sebelum ini, Berlin hanya menyatakan kemungkinan “kuasa asing” terlibat dalam insiden di Leipzig tanpa menamakan mana-mana pihak.

Kerajaan Jerman berulang kali memberi amaran bahawa negara itu menjadi sasaran harian ancaman perang hibrid, termasuk serangan siber, sabotaj dan operasi perisikan.

Canselor Friedrich Merz minggu lalu menegaskan bahawa pihak yang melakukan tindakan bermusuhan terhadap Jerman akan “membayar harga yang setimpal”.

Dalam perkembangan berasingan, polis Jerman turut menyiasat penemuan bahan letupan dan alat pembakar buatan sendiri di sebuah pencawang elektrik di Brandenburg pada Selasa.

Sebuah talian kuasa dilaporkan rosak sehingga menyebabkan gangguan bekalan elektrik sementara, namun identiti pihak yang menanam peranti tersebut masih belum diketahui.

 

 

Must Watch Video

Advertisement