JAKARTA: Presiden Joko Widodo berkata beliau telah menandatangani Peraturan Presiden (Perpres) -- mengenai 'Publisher Rights' atau hak penerbit dengan menekankan tanggungjawab platform digital dalam menyokong kewartawanan berkualiti yang sangat ditunggu industri.

Publisher Rights atau Hak Penerbit memerlukan platform digital untuk membayar berita daripada media tempatan dan nasional, memastikan media menerima pampasan apabila kandungan mereka dikongsi dalam talian.

Berucap di sambutan Hari Pers (Media) Nasional, Joko Widodo atau Jokowi berkata pemerintah Indonesia memberi perhatian kepada kewartawanan berkualiti dan kemampanan industri media konvensionalinilah yang sangat ditunggu sejak sekian lama.

"Kami juga mahu memastikan kemampanan industri media nasional, kami mahu kerjasama yang lebih adil antara syarikat akhbar dan platform digital. Kami mahu menyediakan rangka kerja perundangan yang jelas," katanya.

Bagaimanapun, Jokowi menjelaskan langkah ini sama sekali tidak bertujuan untuk mengurangkan kebebasan akhbar memandangkan Hak Penerbit lahir daripada inisiatif pemain industri akhbar.

Justeru, peranan pemerintah adalah mengawal hubungan perniagaan antara syarikat akhbar dan platform digital dalam semangat meningkatkan kualiti kewartawanan meskipun proses pengesahan mengambil masa agak lama kerana melibatkan kepentingan banyak pihak.

"Prosesnya memang sangat panjang dan banyak perbezaan pendapat dan ia amat memenatkan banyak pihak, amat sukar untuk mencari titik persamaan," kata Jokowi, sambil menambah 'content creator' tidak tertakluk kepada peraturan yang baru diumumkan.

Di tengah cabaran di era platfom digital saat ini, beliau berkata pemerintah akan terus mencari solusi dan kebijakan afirmatif untuk perusahaan media dalam negeri dengan mengarkan Kementerian Komunikasi dan Informatika agar memprioritaskan belanja iklan pemerintah untuk perusahaan media.

Beliau turut berpesan supaya media harus tetap menjadi salah satu pilar penjaga demokrasi dan menyampaikan maklumkat yang tepat serta melakukan inovasi agar adaptif dalam merespons perubahan zaman di tengah persaingan global.

-- BERNAMA