Skip to main content

Dunia

Jordan sekat Telegram susulan kebimbangan keselamatan siber

Langkah sekatan itu bagi mengekang penyalahgunaan platform digital untuk jenayah siber, ugutan, pemerasan dan penyebaran kandungan yang menyalahi undang-undang. - Gambar fail/Adobe Stock
Langkah sekatan itu bagi mengekang penyalahgunaan platform digital untuk jenayah siber, ugutan, pemerasan dan penyebaran kandungan yang menyalahi undang-undang. - Gambar fail/Adobe Stock
Advertisement

AMMAN: Aplikasi pemesejan Telegram disekat di seluruh Jordan sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh keselamatan digital, melindungi pengguna dan mencegah aktiviti menyalahi undang-undang di platform dalam talian, menurut pengumuman Direktorat Keselamatan Awam (PSD) pada Isnin.

Agensi Berita Jordan (Petra) melaporkan bahawa PSD dalam satu kenyataan memaklumkan langkah itu bertujuan mengekang penyalahgunaan platform digital untuk jenayah siber, ugutan, pemerasan dan penyebaran kandungan yang menyalahi undang-undang, termasuk bahan berunsur ekstremis yang boleh mengancam keselamatan awam dan keselamatan negara.

Direktorat itu memaklumkan bahawa langkah berkenaan selaras dengan perundangan sedia ada dan mencerminkan usaha melindungi masyarakat daripada risiko yang berkaitan dengan penyalahgunaan platform digital.

Advertisement

PSD menggesa rakyat supaya berhati-hati ketika menggunakan media sosial dan aplikasi pemesejan, mengelakkan daripada berinteraksi dengan akaun mencurigakan atau mengakses pautan daripada sumber tidak dikenali selain melaporkan aktiviti atau kandungan yang menyalahi undang-undang melalui saluran rasmi.

PSD turut menekankan kepentingan pengawasan ibu bapa dengan menyeru keluarga supaya memantau aktiviti anak-anak mereka dalam talian, meningkatkan kesedaran mengenai risiko digital serta menggalakkan penggunaan teknologi secara selamat dan bertanggungjawab.

Advertisement

Direktorat itu menasihatkan ibu bapa supaya menggunakan fungsi kawalan ibu bapa yang tersedia pada peranti dan aplikasi digital bagi membantu melindungi kanak-kanak daripada kandungan dan interaksi berbahaya dalam talian.

Direktorat itu menegaskan semula komitmennya untuk mengambil langkah yang perlu bagi menangani jenayah siber dan pelanggaran undang-undang lain yang dilakukan melalui platform digital demi melindungi keselamatan awam.

-- BERNAMA-PETRA

Must Watch Video

Advertisement