PHUKET: Sebelas orang maut manakala 38 lagi cedera dalam kebakaran yang memusnahkan sebuah bangunan komersial empat tingkat yang menempatkan kedai sewa motosikal di Patong, wilayah Phuket, awal pagi Isnin.
Kebakaran dipercayai berlaku kira-kira 3.20 pagi di sebuah kedai menjual dan menyewa motosikal di Jalan Phang Muang Sai Kor, Patong.
Ketua Polis Wilayah Phuket Mejar Jeneral Polis Surachai Suksai berkata pihak polis, doktor forensik dan anggota penyelamat sedang menjalankan operasi mengeluarkan mayat serta mengenal pasti identiti mangsa yang terkorban.
Menurut Surachai, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai meninggal dunia akibat terhidu asap selepas tidak sedarkan diri, bukan akibat kecederaan melecur, manakala mereka yang cedera dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Vachira Phuket untuk bedah siasat dan proses pengecaman," kata beliau dalam satu kenyataan pada Isnin.
Surachai berkata lima jentera bomba dikerah untuk memadam kebakaran yang mengambil masa kira-kira 40 hingga 50 minit untuk dikawal.
Polis turut menasihatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap risiko kebakaran, khususnya ketika musim kemarau, selain memastikan pendawaian elektrik dan peralatan di dalam bangunan berada dalam keadaan selamat.
-- BERNAMA