BANGKOK:Thailand menyaksikan penurunan jumlah kes harian baharu COVID-19 di negara itu dengan 186 kes dan sifar kematian dilaporkan dalam tempoh 24 jam lalu, menjadikan angka terkumpul sebanyak 23,557 kes dengan 79 kematian.

Negara itu mencatatkan 237 kes baharu semalam.

Penolong jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 Dr Apisamai Srirangsan berkata daripada jumlah kes baharu itu, 176 adalah jangkitan tempatan termasuk 141 yang mendapatkan rawatan di hospital dan 35 menerusi pengesanan kes aktif, sementara baki 10 lagi merupakan kes import.

"Setakat ini, Thailand merekodkan keseluruhan 23,557 kes dengan 21,006 adalah jangkitan tempatan dan baki merupakan kes import. Seramai 17,410 pesakit telah sembuh dan didiscaj sementara 6,068 masih dirawat di hospital termasuk hospital medan.

"Sekalipun jumlah kes baharu yang dikesan menerusi pengesanan kes aktif di Samut Sakhon telah berkurangan, pengesanan besar-besaran di kawasan yang disasarkan akan diteruskan," katanya pada taklimat harian COVID-19 di sini hari ini.

Pada 26 Jan lalu, Thailand melaporkan kes harian tertinggi iaitu 959 yang dikesan menerusi pengesanan kes aktif di Samut Sakhon, wilayah di mana bermulanya gelombang terkini jangkitan itu.

Sementara itu, Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan o-cha berkata negara itu meneruskan rundingan bagi memeterai perjanjian perolehan vaksin COVID-19 dengan pengeluar lain dalam usaha memvaksin 50 peratus rakyatnya menjelang akhir tahun ini.

"Kerajaan tidak bergantung pada satu pengeluar vaksin sahaja bagi memenuhi keperluan negara," katanya yang dipetik oleh Bangkok Post.

Setakat ini, Thailand menempah 61 juta dos vaksin Oxford-AstraZeneca serta dua juta dos daripada Sinovac Biotech dari China.

-- BERNAMA