Sebaik sahaja sembuh daripada jangkitan koronavirus, seorang jururawat kembali menjalankan tugas di salah sebuah hospital di bandar Wuhan pada Selasa.

Menurut laporan China Central Television (CCTV), Guo Qin, 38, disahkan positif koronavirus pada awal Januari sewaktu ditugaskan menjaga pesakit yang dijangkiti virus baru itu di Hospital Zhongnan.

Selepas 20 hari menjalani rawatan dan dikenakan kuarantin, perkara pertama yang dikejar oleh Qin ialah untuk kembali berkhidmat di hospital.

Menurut jururawat yang bertugas di pusat kecemasan hospital berkenaan, beliau tidak memerlukan tempoh rehat yang lama.

“Saya dimaklumkan bahawa ketua jururawat telah bertugas selama 48 jam tanpa rehat dan berkerja lebih masa.

“Saya cukup risau apabila mendengar perkara itu dan saya mahu cepat sembuh dan kembali bertugas seawal mungkin,” kata Qin.

[LAPOR LANGSUNG] Hati-hati dengan wabak koronavirus!

Tambah Qin, meskipun seramai 80 kakitangan perubatan telah ditugaskan pada saat kritikal ini, tiada di antara mereka yang ingin mengambil cuti rehat sekalipun.

“Semua orang, termasuk ketua jururawat meminta saya untuk berehat. Tetapi kami mempunyai semangat tinggi dengan pekerjaan kami, terutama sekali pada waktu begini yang mana khidmat jururawat itu sangatlah diperlukan.

“Kami tidak terfikir pun untuk mengambil masa rehat,” tambahnya.

Sehingga kini, jangkitan koronavirus dilaporkan telah mengorbankan 132 nyawa dan lebih daripada 6,000 kes dipercayai positif jangkitan tersebut.

BACA: Koronavirus: Kerajaan sedia bawa balik rakyat Malaysia di Wuhan - Dr Mahathir

BACA: Koronavirus: Angka kematian meningkat kepada lebih 130