Skip to main content

Dunia

Juruterbang pesawat tentera C‑130 Bolivia ditahan susulan nahas ragut 22 nyawa

People stand at the site where a Bolivian Air Force Hercules aircraft crashed on Friday evening onto a busy avenue amid inclement weather in the city of El Alto, Bolivia, February 27, 2026. REUTERS/Claudia Morales
Penahanan kedua‑dua kru tersebut dibuat selepas laporan siasatan rasmi yang dikeluarkan pada Khamis mendapati nahas berkenaan berpunca daripada gabungan cuaca buruk dan kesilapan manusia, melibatkan kru pesawat serta petugas kawalan trafik udara. -Gambar fail/Reuters

LA PAZ: Juruterbang dan pembantu juruterbang sebuah pesawat kargo Tentera Udara Bolivia ditahan pada Sabtu, susulan nahas ngeri yang mengorbankan 22 nyawa pada Februari lalu.

Pesawat pengangkut jenis C‑130 Hercules itu terhempas selepas tergelincir keluar dari landasan ketika cuba mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa El Alto, kira‑kira 15 kilometer dari La Paz.

Advertisement

Penahanan kedua‑dua kru tersebut dibuat selepas laporan siasatan rasmi yang dikeluarkan pada Khamis mendapati nahas berkenaan berpunca daripada gabungan cuaca buruk dan kesilapan manusia, melibatkan kru pesawat serta petugas kawalan trafik udara.

Menurut laporan itu, pesawat yang membawa lapan kru berkenaan tidak menerima maklumat cuaca yang tepat daripada menara kawalan sebelum mendarat, selain melakukan pendaratan menggunakan tayar hidung (nose gear), sekali gus menyukarkan sistem brek berfungsi dengan berkesan.

Keadaan itu diburukkan lagi dengan permukaan landasan yang basah akibat ribut petir, yang menjejaskan daya cengkaman pesawat semasa pendaratan.

Dalam kejadian pada 27 Feb lalu, sebahagian fiuslaj pesawat dilaporkan tercabut dan terhempas ke kawasan bandar yang padat di luar lapangan terbang, sekali gus menyumbang kepada jumlah korban yang tinggi.

Pesawat tersebut turut membawa muatan wang kertas baharu milik Bank Pusat Bolivia, yang bertaburan di lokasi kejadian dan mencetuskan kekecohan dalam kalangan penduduk setempat.

Pihak berkuasa tempatan dijangka memulakan prosiding mahkamah dalam masa terdekat bagi mengambil tindakan undang‑undang terhadap kru pesawat yang terlibat, selaras dengan hasil siasatan yang telah dimuktamadkan.

Must Watch Video