Skip to main content

Dunia

ADB lancar kemudahan pembiayaan bagi bantu rantaian bekalan mineral kritikal di Asia

71649228054_TBADBBOX.jpg
Kemudahan ini membantu menyediakan projek, memperbaharui dasar dan menyokong pelaburan awam serta pembiayaan swasta merentasi rantaian nilai mineral kritikal.

KUALA LUMPUR: Bank Pembangunan Asia (ADB) hari ini melancarkan kemudahan pembiayaan baharu bagi membantu negara-negara di Asia dan Pasifik membangunkan rantaian bekalan mineral kritikal yang diperlukan bagi tenaga bersih, bateri, kenderaan elektrik dan teknologi digital. 

Menurut ADB, Kemudahan Perkongsian Pembiayaan Mineral ke Pembuatan Kritikal itu bertujuan memacu rantau ini melangkaui perlombongan dan ke arah industri bernilai tinggi seperti pemprosesan, pembuatan dan kitar semula. 

Advertisement

“Kemudahan ini akan membantu menyediakan projek, memperbaharui dasar dan menyokong pelaburan awam serta pembiayaan swasta merentasi rantaian nilai mineral kritikal,” katanya. 

Selain itu, menurut ADB, kemudahan itu terbahagi kepada dua komponen iaitu tempoh permohonan geran dan tempoh kewangan pemangkin. 

ADB menjelaskan, tempoh permohonan geran akan membiayai kerja projek awal, termasuk kajian kebolehlaksanaan, penilaian alam sekitar dan sosial, bantuan teknikal serta perkongsian pengetahuan. 

“Kerajaan Jepun telah bersetuju memperuntukkan sebanyak AS$20 juta kepada tempoh permohonan geran, manakalan kerajaan United Kingdom menyatakan komitmen sebanyak AS$1.6 juta,” katanya. 

Sementara itu, tempoh kewangan pemangkin pula direka untuk menggerakkan pembiayaan bersama dan perkongsian risiko daripada rakan pembiayaan lain. 

Korea Eximbank dan Korean Trade Insurance Corporation, yang dikenali sebagai K-SURE, masing-masing telah menandatangani memorandum persefahaman bernilai AS$500 juta sebagai rakan kongsi pertama kemudahan tersebut. 

-- BERNAMA

 

Must Watch Video