WASHINGTON DC: Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Pete Hegseth diasak oleh beberapa senator semasa memberi keterangan di hadapan Jawatankuasa Perkhidmatan Angkatan Tentera Senat pada 30 April.
Menerusi rakaman yang disiarkan hari ini, Senator Demokrat di Massachusetts, Elizabeth Warren membangkitkan dakwaan mengenai saham dalam syarikat berserta sepuluh kontraktor pertahanan terbesar yang dimiliki oleh Hegseth.
Advertisement
“Adakah anda (Hegseth) melalui broker anda di Morgan Stanley atau mana-mana cara lain, cuba melabur dalam mana-mana dana berkaitan pertahanan tepat sebelum Presiden Donald Trump memulakan perang Iran?” soal Elizabeth.
Namun sebelum soalan itu diajukan, Hegseth menolak keras dakwaan tersebut sambil menegaskan bahawa beliau tidak pernah meraih sebarang keuntungan peribadi selain berkhidmat untuk negara.
Menurutnya, segala yang dilakukan adalah atas dasar tanggungjawab, bukan untuk wang, keuntungan mahupun pegangan saham.
“Tiada siapa yang mengawal saya, tiada siapa yang mengawal jabatan ini, dan tiada siapa yang mengawal presiden. Kami melaksanakan amanah untuk rakyat Amerika, dan itulah yang kami lakukan,” kata Hegseth.
Senataro Demokrat di New York, Kirsten Gillibrand, di hadapan Hegseth pula menegaskan bahawa rakyat AS secara umumnya tidak menyokong perang, yang disifatkan sebagai tindakan tanpa kelulusan Kongres dan membebankan rakyat dari segi kewangan.
“Perang ini telah menelan kos yang terlalu besar iaitu melebih AS$25 bilion (sekitar RM120 bilion), dengan anggaran sekitar AS$1 bilion dolar sehari.
“Mereka merasai kesannya setiap hari di pam minyak, apabila harga bahan api terus meningkat, sama ada diesel atau petrol,” kata Gilibrand.
Pada masa yang sama, Hegseth menjelaskan bahawa anggaran kos penggantian fasiliti MILCON (Military Construction) belum diputuskan.
Jelasnya, status kehadiran tentera Amerika Syarikat di perairan Selat Hormuz serta perancangan pembinaan semula pangkalan di rantau Teluk masih belum mempunyai hala tuju.
Gillibrand turut menyoal sekiranya Hegseth menyedari AS telah melakukan serangan ke atas infrastruktur awam, sekolah dan hospital sejak 28 Februari lalu.
“Adakah anda sedar kesan kegagalan strategik dalam peperangan apabila korban awam begitu tinggi?” Soal Gilibrand.
Namun, Hegseth menafikan dakwaan tersebut sambil menyatakan tentera AS tidak pernah menyasarkan orang awam.
“Kami mewujudkan pelbagai mekanisme dan langkah-langkah kawalan bagi memastikan (tiada korban awam) tahap maksimum, kami juga tidak mencederakan atau menyerang orang awam,” kata Hegseth.