VIENNA: Kira-kira sembilan kanak-kanak di bawah umur lima tahun meninggal dunia setiap minit, menurut angka Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang diterbitkan pada Rabu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Pada 2024, dianggarkan sebanyak 4.9 juta kematian direkodkan dalam kalangan bayi dan kanak-kanak sedang bertatih bagi kumpulan umur ini di seluruh dunia.
Advertisement
Menurut laporan yang disusun oleh Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF) di New York bersama organisasi PBB yang lain, sebahagian besar daripada kematian ini sebenarnya boleh dicegah melalui langkah-langkah kos - berkesan dan akses kepada penjagaan kesihatan.
"Tiada kanak-kanak yang sepatutnya mati akibat penyakit yang kita tahu cara untuk mencegahnya," kata Ketua UNICEF Catherine Russell.
Berdasarkan laporan itu, jumlah kematian sebelum usia lima tahun telah berkurangan lebih daripada separuh di seluruh dunia sejak tahun 2000, namun kadar kemajuan itu dilihat semakin perlahan secara mendadak sejak 2015.
Pada masa sama, Russell berkata belanjawan bagi tujuan itu sedang dikurangkan di seluruh dunia. Beliau tidak menyebut secara langsung mengenai pemotongan drastik bantuan Amerika Syarikat (AS) yang mula berkuat kuasa pada tahun lepas.
Kadar kematian kanak-kanak berbeza secara meluas di seluruh dunia, begitu juga dengan akses kepada rawatan perubatan. Rantau Afrika Sub-Sahara menyumbang 58 peratus daripada keseluruhan kematian kanak-kanak bawah lima tahun, dengan penyakit berjangkit memainkan peranan utama.
Kira-kira 25 peratus daripada semua kes direkodkan di Asia Selatan, dengan kebanyakan bayi meninggal dunia sejurus selepas dilahirkan. Eropah dan Amerika Utara pula secara gabungan hanya menyumbang 1.1 peratus.
Risiko bagi bayi baru lahir dan bayi dilaporkan sangat tinggi terutamanya di zon perang dan kawasan krisis.
Organisasi PBB itu turut menyusun data bagi kumpulan umur 5 hingga 24 tahun, yang menunjukkan dianggarkan sebanyak 2.1 juta kanak-kanak, remaja dan dewasa muda meninggal dunia pada 2024.
Laporan itu mendedahkan remaja perempuan berumur antara 15 hingga 19 tahun paling kerap meninggal dunia akibat tingkah laku membunuh diri, manakala remaja lelaki dalam lingkungan usia yang sama paling kerap maut dalam kemalangan jalan raya.
-- BERNAMA-dpa