DI seluruh Mexico, Amerika Syarikat (AS) dan Kanada, puluhan juta orang penuh khusyuk mendongak ke langit sambil tertanya-tanya bagaimana waktu siang boleh bertukar menjadi gelap gelita seperti di malam hari dalam sekelip mata.

Kali terakhir gerhana matahari berlaku di AS ialah pada 2017 dalam tempoh dua minit, 30 saat.

Apa yang dilihat mereka semalam (Isnin) ialah fenomena yang berlaku sekali dalam seumur hidup iaitu bulan bergerak di antara bumi dan matahari, memadamkan cahayanya dalam gerhana matahari penuh.

Laluan keseluruhan merentasi benua, bermula di atas pasir pantai Mexico, menggelapkan langit di langit air terjun Niagara Falls, sebelum menamatkan perjalanannya di pantai Newfoundland Kanada.

Fenomena gerhana pertama kali dilihat di sekitar Mazatlán, Mexico, di pantai barat negara itu pada 11.07 pagi waktu tempatan.

Pada mulanya, pinggir luar bulan seolah-olah hanya menyentuh matahari sebelum perlahan-lahan melindungi matahari sehingga akhirnya menjadi gelap.

Beribu batu jauhnya di Dallas, Texas, Ady Walton-King yang berusia 11 tahun leka menunggu sangat teruja dengan apa yang dilihat berlaku di depan matanya.

Dia telah mempelajari semuanya mengenai gerhana dalam kelas gred limanya di Akademi Dallas dan pada pagi Isnin, dia memakai kasutnya dan membawa bersama empat pasang cermin mata gerhana ke dalam dompet merah jambunya - sepasang untuk dirinya sementara tiga pasang lagi masing-masing untuk ibu, bapa dan adik perempuannya, Abigail.

Sejurus sebelum fenomena itu bermula, Ady duduk di sebelah ayahnya, Ryan, di padang sekolah di tengah Dallas dan membawa perhatiannya ke atas.

Dan tidak lama kemudian, apa yang ditunggu-tunggunya berlaku.

Segalanya terasa perlahan, katanya, sambil menggambarkan petang Texas menjadi gelap.

"Ia kelihatan seperti bulan menggigit matahari, tetapi tanpa tanda gigitan."

Awan tergelincir masuk dan keluar, sesekali menghalang gerhana daripada pandangan sehingga matahari lenyap, tiada apa-apa yang tinggal kecuali kilauan cahaya kecil di sekeliling Bulan.

"Saya tidak sangka ia akan menjadi seperti itu. Ia benar-benar gelap di luar. Saya fikir ia akan menjadi seperti waktu petang menjelang malam, namun, sebaliknya, ia hampir dengan gelap gelita," cerita Ady mengenai pengalaman hebat itu.



Gerhana matahari seterusnya akan berlaku pada Ogos 2026, kata Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA). Ia akan kelihatan di Greenland, Iceland, Sepanyol, Rusia, dan kawasan kecil Portugal.

Sementara itu, menjelaskan mengenai gerhana matahari penuh, Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) dalam kenyataan di laman webnya berkata, fenomena itu berlaku sehari selepas bulan berada pada kedudukan perigee, iaitu kedudukan bulan terdekat dari bumi di dalam orbit bulan mengelilingi bumi dengan jarak 358,850 km.

Magnitud gerhana matahari penuh kali ini adalah 1.0566.

Laluan gerhana matahari penuh (lintasan bayang umbra bulan) dengan kelebaran 142 hingga 202 kilometer ini akan bermula di Lautan Pasifik Selatan, melintasi Mexico Utara, 15 negeri di Amerika Syarikat (Texas, Oklahoma, Arkansas, Missouri, Tennessee, Kentucky, Illinois, Indiana, Ohio, Michigan, Pennsylvania, New York, Vermont, New Hampshire, dan Maine) dan kemudian melintasi enam wilayah Kanada iaitu Ontario, Quebec, New Brunswick, Pulau Prince Edward, Nova Scotia dan Newfoundland sebelum berakhir di Lautan Atlantik.

Tempoh gerhana maksimum yang paling lama iaitu selama 4 minit 28 saat di Torreon, Mexico.

Gerhana matahari separa pula kelihatan dalam lingkungan bayang penumbra bulan yang lebih luas dan dapat disaksikan di seluruh Amerika Utara dan Amerika Tengah.

Fenomena gerhana matahari penuh tidak dapat disaksikan di Malaysia kerana laluan bayang-bayang umbra dan penumbra bulan tidak melalui mana-mana kawasan di Malaysia pada waktu tersebut.