Kabinet baharu Lecornu berhadapan satu lagi undi tidak percaya

Pada 10 Oktober, Presiden Emmanuel Macron melantik semula Lecornu sebagai Perdana Menteri. - Foto fail/AP
MOSCOW: Usul undi tidak percaya kedua terhadap kerajaan baharu Perdana Menteri Perancis yang baru dilantik semula, Sebastien Lecornu dikemukakan kepada parlimen pada Isnin, lapor Sputnik/RIA Novosti.
"(Ketua Parti National Rally) Marine Le Pen dan (Ketua Parti Union of the Right for the Republic -UDR) Eric Ciotti mengemukakan usul undi tidak percaya bersama daripada kumpulan National Rally dan UDR pagi ini," menurut kenyataan National Rally di platform media sosial X.
Terdahulu pada hari sama, parti berhaluan kiri France Unbowed turut membentangkan draf resolusi untuk mengadakan undi tidak percaya terhadap Kabinet baharu itu.
Pada 10 Oktober, Presiden Emmanuel Macron melantik semula Lecornu sebagai Perdana Menteri.Namun, pada 6 Oktober, Lecornu menyerahkan surat peletakan jawatannya selepas hanya 27 hari memegang jawatan, menjadikannya perdana menteri paling singkat berkhidmat di Perancis dalam lebih enam dekad.
Macron menerima perletakan jawatan itu dan meminta beliau mengadakan rundingan akhir dengan parti-parti politik bagi membentuk kerajaan baharu. Bagaimanapun, hanya Parti National Rally pimpinan Le Pen dan parti berhaluan kiri France Unbowed pimpinan Jean-Luc Melenchon tidak dijemput ke mesyuarat di Istana Elysee.
Krisis ini menambahkan lagi ketidakstabilan politik di Perancis sejak Macron dipilih semula pada 2022, dengan negara itu melantik lima perdana menteri dalam tempoh singkat.
Francois Bayrou, perdana menteri sebelum Lecornu, meletak jawatan awal September selepas gagal memperoleh sokongan dalam undi percaya terhadap pelan penjimatan ekonomi yang dibentangkannya.
--BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami