LONDON: Perdana Menteri baharu United Kingdom (UK), Liz Truss yang  menggantikan Boris Johnson mengumumkan pembentukan barisan Kabinet baharu pada Selasa selepas mendapat perkenan Ratu Elizabeth II.

AFP melaporkan, barisan kepimpinan tertinggi Kabinet beliau menyaksikan, buat kali pertama dalam sejarah negara itu, tiada pemimpin berkulit putih yang dilantik bagi menyandang tiga jawatan paling kanan.

Namun seperti dijangka, Truss melantik beberapa sekutunya dalam  Konservatif, iaitu Kwasi Kwarteng sebagai Menteri Kewangan, James Cleverly (Setiausaha Luar) dan Suella Braverman (Menteri Dalam Negeri).

Sementara itu, Kwarteng yang merupakan anak kepada seorang imigran Ghana, adalah individu kulit hitam pertama memegang jawatan Menteri Kewangan UK.

Beliau berikrar untuk memberi tumpuan segera bagi menangani dan mengatasi keadaan ekonomi negara yang begitu terjejas ketika ini.

Cleverly merupakan anggota pasukan simpanan tentera yang pernah berkhidmat bawah Truss di pejabat hal ehwal luar negara, manakala ibu bapa Braverman pula mempunyai asal usul India dari Kenya dan Mauritius.

Downing Street turut mengumumkan pelantikan penyokong setia Truss, Therese Coffey, sebagai Timbalan Perdana Menteri menggantikan Dominic Raab. Wanita itu juga dilantik sebagai Setiausaha Kesihatan.

Dalam pada itu, Ben Wallace yang dikekalkan sebagai Menteri Pertahanan berikrar untuk meneruskan sokongan kuat pentadbiran Boris Johnson sebelum ini kepada Ukraine.

Dalam ucapannya di Downing Street, Truss yang merupakan Perdana Menteri wanita wanita yang ketiga di Britain selepas Margaret Thatcher dan Theresa May dalam tempoh 40 tahun, memberitahu, beliau akan memberi tumpuan untuk menempuhi dan mengatasi 'badai'.

Pelantikan Truss itu dibuat ketika negara berkenaan berdepan krisis kos sara hidup, pergolakan industri dan inflasi dua digit.

"Saya akan bertindak segera, pada minggu ini bagi menangani isu harga tenaga dan menjamin bekalannya untuk keperluan pada masa hadapan"

"Sekuat mana sekalipun 'badai' yang melanda, saya tahu rakyat Britain kuat," katanya.

Dalam ucapannya itu beliau turut menggariskan kepentingan ekonomi, bekalan tenaga dan kesihatan sebagai keutamaan fokus pentadbiran beliau.