Skip to main content

Dunia

Kadar obesiti di EU catat paras tertinggi dalam lapan tahun - Eurostat

OBESITY
Peratusan lelaki dalam kategori pra-obesiti ialah 41.9 peratus berbanding 29.3 peratus dalam kalangan wanita. Pada masa yang sama, wanita lebih berkemungkinan mengalami kekurangan berat badan berbanding lelaki, masing-masing pada kadar 2.9 peratus dan 1.0 peratus. - Gambar hiasan
Advertisement

MOSCOW: Satu daripada enam orang dewasa di Kesatuan Eropah (EU) mengalami obesiti pada 2025, iaitu paras tertinggi sejak 2017, menurut data Eurostat yang diterbitkan pada Jumaat, lapor Sputnik/RIA Novosti.

Agensi itu menerbitkan kajian kadar obesiti setiap beberapa tahun. 

Pada 2017, kadar itu ialah 15.1 peratus. Pada 2022, angka itu menurun kepada 14.8 peratus, namun meningkat semula kepada 16.3 peratus pada 2025.

Obesiti bermaksud indeks jisim tubuh (BMI) seseorang ialah 30 atau lebih. 

Sebanyak 35.4 peratus individu berusia 18 tahun ke atas berada dalam kategori pra-obesiti, dengan BMI antara 25 dan 30. 

Secara keseluruhan, lebih separuh daripada populasi dewasa EU mempunyai berat badan berlebihan sama ada mengalami obesiti atau pra-obesiti.

Lelaki lebih berkemungkinan mempunyai berat badan berlebihan berbanding wanita, dengan kadar obesiti masing-masing 17.4 peratus bagi lelaki dan 15.3 peratus bagi wanita.

Peratusan lelaki dalam kategori pra-obesiti ialah 41.9 peratus berbanding 29.3 peratus dalam kalangan wanita.

Pada masa yang sama, wanita lebih berkemungkinan mengalami kekurangan berat badan berbanding lelaki, masing-masing pada kadar 2.9 peratus dan 1.0 peratus.

Kadar obesiti tertinggi direkodkan di Malta, dengan kira-kira satu daripada empat orang dewasa (26.6 peratus) mengalami obesiti. Kadar seterusnya tertinggi dicatatkan di Latvia (24.6 peratus) dan Finland (23.2 peratus). Kadar terendah pula direkodkan di Itali (7.0 peratus), Greece (12.8 peratus) dan Romania (12.9 peratus).

-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI

Must Watch Video

Advertisement