Kajian yang dilakukan oleh sekumpulan penyelidik mendedahkan virus COVID-19 turut merosakkan organ dalaman termasuk paru-paru, jantung, hati, otak, buah pinggang dan usus.

Portal CNN yang memetik dua kajian berasingan mendedahkan virus itu tidak hanya berhenti di paru-paru, sebaliknya menyerang pelbagai organ lain, sekali gus menjelaskan dengan lebih mendalam mengenai pelbagai simptom dialami pesakit.

Penemuan itu berkemungkinan membantu menjawab beberapa persoalan yang timbul termasuk dalam kalangan pesakit muda yang diserang strok yang berpunca daripada darah beku, sakit kepala serta kegagalan buah pinggang.

Meskipun virus itu dikaitkan dengan masalah pernafasan, namun penyelidik mendapati ia juga boleh menyerang saluran pencernaan yang menyebabkan cirit-birit dan gangguan gastrousus.

Penyelidik menemui bukti virus itu ada dalam najis pesakit dan memberi amaran ia boleh dipindahkan melalui laluan dikenali sebagai fekal-oral.

Kenyataan itu diperkukuhkan menerusi kajian yang dilakukan oleh Jie Zhou dan rakan-rakannya dari Universiti Hong Kong apabila hasil kajian mendapati virus berkenaan boleh hidup di usus.

Dalam penemuan itu, virus COVID-19 masih aktif dalam najis seorang pesakit yang berusia 68 tahun dan virus itu mampu menjadi agen penyebaran wabak.

Jie Zhou menjelaskan, wanita itu dimasukkan ke Hospital Princess Margaret selepas mengalami demam, sakit tekak, batuk dan cirit-birit.

Dalam satu lagi kajian berasingan yang dilakukan oleh University Medical Center Hamburg-Eppendorf di Jerman ke atas 27 pesakit yang telah meninggal dunia mengesan penemuan virus SARS-CoV-2 di organ-organ mereka termasuk paru-paru, jantung, hati, otak dan buah pinggang.

Kajian itu diterbitkan dalam Jurnal Perubatan New England.