INTERNATIONAL
Kakitangan misi pengaman global berkurang 40 peratus disebabkan ketegangan geopolitik, kekurangan dana

SIPRI mencatatkan sebanyak 61 operasi pengaman pelbagai hala di 36 negara atau wilayah pada 2024, hanya kurang dua daripada 2023. - Gambar SIPRI
ISTANBUL: Jumlah kakitangan dalam operasi pengaman pelbagai hala berkurang lebih 40 peratus sejak 2015 disebabkan ketegangan geopolitik yang semakin meningkat dan kekurangan dana, menurut Institut Penyelidikan Keamanan Antarabangsa Stockholm (SIPRI) pada Isnin, lapor Anadolu Ajansi.
Sehingga 31 Dis 2024, seramai 94,451 kakitangan antarabangsa sedang berkhidmat dalam 57 operasi pengaman, berkurang daripada 161,509 pada 2015 dan pengurangan enam peratus daripada 100,568 pada 2023, menurut data baharu SIPRI yang dikeluarkan menjelang Hari Antarabangsa Pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 29 Mei.
Walaupun berlaku penurunan mendadak dalam jumlah kakitangan, bilangan misi aktif kekal agak stabil.
SIPRI mencatatkan sebanyak 61 operasi pengaman pelbagai hala di 36 negara atau wilayah pada 2024, hanya kurang dua daripada 2023.Sub-Sahara Afrika menjadi tuan rumah kepada bilangan misi tertinggi, iaitu 21 diikuti oleh Eropah dengan 19, Timur Tengah dan Afrika Utara dengan 14, benua Amerika dengan empat dan Asia serta Oceania dengan tiga.
"Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, semakin sukar untuk mencapai persetujuan, melaksanakan dan mengekalkan operasi pengaman pelbagai hala, sama ada oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu atau organisasi serantau seperti Kesatuan Afrika," kata Dr Claudia Pfeifer Cruz, seorang penyelidik kanan SIPRI. "Ini memberi kesan yang nyata terhadap kesejahteraan orang awam di lapangan."
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami