Skip to main content
Advertisement

Dunia

“Kami mangsa keganasan” – Pezeshkian papar gambar serangan AS-Israel di UNGA

PEZESHKIAN UNGA, kredit Youtube United Nations
PEZESHKIAN: Lihat kanak-kanak ini. Mereka terkorban akibat bom dan senjata yang digunakan AS dan Israel. Mereka tidak bersalah dan tidak melakukan sebarang jenayah. - YouTube United Nations
Advertisement

PRESIDEN Iran, Masoud Pezeshkian memaparkan gambar mangsa serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel ketika berucap pada sesi ke-81 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York, hari ini.

Antara yang dipaparkan ialah gambar bekas Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Seyyed Ali Khamenei, serta kanak-kanak yang terkorban dalam serangan ke atas Sekolah Rendah Shajareh Tayyebeh di Minab.

Beliau turut menunjukkan gambar mangsa serangan ke atas sebuah gelanggang sukan di Lamerd. Ketiga-tiga serangan itu berlaku pada 28 Februari lalu.

Pezeshkian kemudian membidas Presiden AS, Donald Trump yang menyifatkan Iran sebagai pengganas ketika berucap di pentas sama pada Selasa.

“Presiden Amerika Syarikat menyifatkan kami sebagai pengganas. Hakikatnya, kamilah mangsa keganasan.

“Saya datang dari Iran, sebuah negara yang pemimpin tertingginya dibunuh tanpa sebarang asas undang-undang atau alasan. Saya datang dari Iran, sebuah negara yang sekolahnya dibom.

“Lihat kanak-kanak ini. Mereka terkorban akibat bom dan senjata yang digunakan AS dan Israel. Mereka tidak bersalah dan tidak melakukan sebarang jenayah,” katanya sambil merujuk gambar yang dipaparkan.

Image
PEZESHKIAN UNGA, kredit Youtube United Nations
Pezeshkian menunjukkan gambar bekas Pemimpin Tertinggi Iran Ayatollah Seyyed Ali Khamenei yang terkorban akibat serangan Amerika Syarikat pada 28 Februari.

Menurut Pezeshkian, serangan di Lamerd turut mengenai sebuah gelanggang sukan ketika kanak-kanak sedang bermain di situ.

Beliau mendakwa serangan AS dan Israel turut menyasarkan universiti, pusat kesihatan, sekolah, hospital serta infrastruktur Iran.

“Kami hanya mempertahankan diri. Kami bukan pengganas,” tegasnya.

Pezeshkian berkata Iran membina kekuatan ketenteraannya bagi mempertahankan negara dan memastikan serangan ke atas bandar-bandarnya tidak dibiarkan tanpa balasan.

Jelasnya, Iran telah membalas serangan yang dilancarkan terhadapnya, namun tidak menyasarkan penduduk awam.

Pada masa sama, beliau menegaskan Republik Islam Iran masih terbuka kepada dialog dan rundingan, tetapi tidak akan tunduk kepada tekanan.

“Kami bersedia untuk berdialog, berdiplomasi dan berunding tanpa menerima bahasa paksaan,” katanya pada akhir ucapan.

Ketika Pezeshkian berucap di Dewan Perhimpunan Agung PBB, seorang wakil delegasi AS dilihat meninggalkan dewan berkenaan.
 

Image
PEZESHKIAN UNGA, kredit Youtube United Nations
Seorang delegasi Amerika Syarikat bertindak meninggalkan dewan ketika Pezeshkian berucap.


 

Must Watch Video

Advertisement