Seorang kanak-kanak perempuan berusia 8 tahun terbunuh manakala dua mangsa dewasa cedera dalam insiden tembakan di Chicago pada Isnin ketika dalam sebuah kenderaan menuju Southside bandar berkenaan.

Ketua Operasi Polis Chicago Brian McDermott berkata insiden tembakan tersebut berlaku sebelum 6 petang di kawasan kejiranan Canaryville.

Pihak polis berkata kanak-kanak itu bersama-sama ibunya dan dua dewasa lain berada di dalam kereta Subaru SUV ketika mereka berhenti di lampu isyarat merah di 47th Street dan Union Avenue dengan kereta Dodge Charger di belakang mereka.

Sejurus lampu isyarat bertukar hijau, pihak berkuasa berkata seseorang dalam kereta Charger tersebut melepaskan tembakan dan terkena kanak-kanak perempuan berkenaan, seorang lelaki berusia 31 tahun dan seorang wanita berusia 30 tahun.



Kereta Charger itu kemudiannya membuat pusingan U dan melarikan diri darip tempat kejadian.

McDermott berkata kanak-kanak itu dibawa ke Hospital Kanak-kanak Comer sebelum disahkan meninggal dunia.

Manakala lelaki dan wanita yang terkena tembakan dikejarkan ke Pusat Perubatan University of Chicago kini berada dalam keadaan kritikal, masing-masing mengalami luka tembakan pada bahagian belakang.

Ibu kanak-kanak tersebut turut cedera dalam kemalangan itu.



Dia dibawa ke Pusat Perubatan University of Chicago dan berada dalam keadaan yang baik.

Menurut data Chicago Sun-Times, mangsa yang terkorban itu merupakan yang keenam berusia di bawah 10 tahun yang terbunuh di Chicago sejak akhir bulan Jun.