MELBOURNE: Seorang kanak-kanak berusia dua tahun cedera selepas diserang anjing baka dingo di pulau peranginan terkenal di Australia pada Sabtu, kata petugas kecemasan.

Kanak-kanak tersebut dikatakan cedera di bahagian kepala serta badan dan dikejarkan ke hospital menggunakan helikopter.

"Dipercayai kanak-kanak tersebut yang sedang bercuti bersama keluarganya, bermain di luar sebuah rumah apabila jiran mendengar kekecohan.

"Mereka keluar dan meyaksikan anjing baka dingo itu menyerang kanak-kanak berkenaan," kata Penyelamat LifeFlight RACQ dalam satu kenyataan hari ini.

Mangsa diterbangkan ke sebuah hospital di Pulau Fraser ditemani ibunya dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

Anjing baka dingo ini merupakan spesis dilindungi di Pulau Fraser dan menjadi tarikan kepada pelancong.

Terdapat hanya kira-kira 200 ekor anjing tersebut di pulau berkenaan, menurut Jabatan Alam Sekitar dan Sains Queensland.

Pada tahun 1980, seorang bayi Azaria Chamberlain hilang semasa dia bersama keluarga sedang bercuti di kawasan perkhemahan di Australia.

Ibunya mendakwa anaknya itu dilarikan seekor anjing baka dingo selepas meletakkan bayi tersebut di dalam sebuah khemah.

Mayat bayi itu tidak ditemui sehingga hari ini dan ia terus menjadi misteri yang menghantui rakyat Australia.

Kisah bayi tersebut diterbitkan dalam sebuah buku dan juga sebuah filem yang dibintangi pelakon terkenal Hollywood, Meryl Streep bersama Sam Neill.

Ibu bayi berkenaan, Lindy dihukum penjara selama tiga tahun selepas didapati bersalah menyebabkan kematian anaknya.

Dia kemudian diberi pengampunan pada tahun 2012 selepas mahkamah memutuskan anaknya itu dibunuh oleh seekor anjing dingo.

Anjing baka dingo ini diperkenalkan ke Australia kira-kira 4,000 tahun dahulu dan merupakan spesis yang dilindungi di taman negara Queensland, kawasan Tapak Warisan Dunia, tanah rizab Orang Asli dan kawasan ibu negara Australia.