23 peratus kanak-kanak Palestin yang berusia antara 13 hingga 15 tahun berkecenderungan membunuh diri.

Ini disebabkan oleh tekanan hidup yang mereka hadapi sejak dilahirkan.

“Sedih apabila ada segelintir daripada kanak-kanak ini yang telahpunmembunuh diri. Peratusan ini tinggi berbanding dengan kanak-kanak di negara-negara lain. Sebagai contoh di negara jiran Jordan, hanya satu hingga dua peratus sahaja,” kata Pengarah di Jabatan Kesihatan Sekolah, Kementerian Kesihatan Palestin, Dr Walid El-Khatib.

Pihaknya yang menjalankan kajian turut mendapati pihak berkuasa gagal dalam memberikan harapan hidup buat golongan ini.

Selain itu, kanak-kanak Palestin juga mempunyai daya ketahanan mental yang sangat lemah sehingga menyebabkan mereka berkecenderungan untuk membunuh diri.

“Ketahanan mental mereka menjadi lemah apabila kanak-kanak ini terus didedahkan dengan pengeboman dan keganasan yang dilakukan askar Israel. Disebabkan inilah ramai kanak-kanak yang mengalami kemurungan, masalah tidur, keresahan, tidak berselera untuk makan dan tidak gembira.

“Krisis politik dan ekonomi yang berlarutan telah menyebabkan suasana tidak menentu. Meskipun membunuh diri dilarang oleh Islam, golongan ini tetap merasakan tiada lagi harapan di masa depan,” tambahnya.

Dr Walid turut menegaskan yang golongan dewasa turut bertanggungjawab. Mereka seharusnya menangani situasi ini dengan memberikan lebih perhatian kepada anak-anak ini.

“Kita perlu mengajar mereka menghargai kehidupan. Mereka perlu diajar cara menghadapi keadaan yang sukar dan membuat keputusan yang betul. Ini akan dapat membantu meningkatkan tahap psikologi mereka,” katanya.

Dr Walid adalah salah seorang saksi di sesi pendengaran Suruhanjaya Jenayah Perang Kuala Lumpur berkaitan Palestin.

Ketika sesi soaljawab Dr Walid turut menyentuh mengenai kesan fizikal, mental dan emosi ekoran kekejaman askar Israel keatas penduduk Palestin di Gaza dan Tebing Barat.

“Saya boleh simpulkan di sini, masalah mental di kalangan kanak-kanak semakin meningkat berikutan kesan langsung penjajahan Israel di bumi Palestin,"akhiri beliau.