WASHINGTON: Setiausaha Akhbar White House, Karoline Leavitt akan meninggalkan jawatannya pada penghujung bulan ini, demikian diumumkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, pada Rabu.
Pengunduran Leavitt, antara sekutu paling rapat Trump di White House, dilihat sebagai perubahan besar dalam operasi komunikasi pentadbiran AS ketika negara itu menghampiri pilihan raya pertengahan penggal yang dijadual berlangsung dalam tempoh kurang tiga bulan lagi.
Dalam satu hantaran di media sosial, Trump menyifatkan Leavitt sebagai “salah seorang pembantu paling dipercayainya” dan berkata, keputusan itu dibuat bagi membolehkan beliau meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga.
“Karoline akan meninggalkan peranannya pada penghujung bulan ini supaya dapat memberi lebih perhatian kepada anak-anaknya yang masih kecil dan keluarganya, satu keputusan yang saya fahami dan hormati sepenuhnya,” kata Trump.
Menurut beliau, Leavitt akan terus berkhidmat sebagai penasihat luar kepada pentadbirannya.
Pada usia 28 tahun, Leavitt mencipta sejarah sebagai Setiausaha Akhbar White House termuda dalam sejarah AS.
Beliau juga menjadi wanita pertama yang memegang jawatan berkenaan ketika sedang hamil.
Leavitt kembali ke podium bilik taklimat White House bulan lalu selepas mengambil cuti bersalin yang singkat.
Beliau pernah memegang jawatan peringkat junior ketika penggal pertama pentadbiran Trump, namun, muncul sebagai antara jurucakap paling berpengaruh dan setia sepanjang penggal kedua presiden itu.
Dikenali kerana pendekatannya yang tegas dalam mempertahankan Trump dan dasar-dasarnya, Leavitt sering berdepan wartawan yang mengemukakan soalan-soalan sukar, selain memberi ruang kepada saluran media yang lebih mesra dengan pentadbiran berkenaan.
Di luar tugas rasmi, beliau turut membina imej sebagai isteri dan ibu bekerjaya, kerap berkongsi kehidupan keluarganya di media sosial.
Leavitt sering dilihat membawa anak lelakinya, Niko, ke Air Force One dan Oval Office selain berkongsi momen bersama suami serta anak perempuannya yang baru dilahirkan.
Bagaimanapun, di sebalik imej yang dipaparkan di media sosial, beliau mengakui, kesukaran mengimbangi tuntutan kerjaya dan kehidupan keluarga.
“Memandangkan saya kembali bertugas di White House selepas kelahiran anak perempuan saya, saya merasakan dalam hati bahawa saya tidak mampu menjadi ibu terbaik yang sepatutnya untuk dua anak kecil saya sambil memberikan masa, tenaga dan perhatian yang diperlukan oleh jawatan Setiausaha Akhbar White House,” tulisnya dalam satu hantaran media sosial.
Beliau menyifatkan keputusan itu sebagai sesuatu yang “pahit manis.”
Sepanjang tempoh cuti bersalin Leavitt baru-baru ini, sesi taklimat media White House dilaporkan berlangsung dengan kekerapan yang jauh lebih rendah.
Bagi mengisi kekosongan itu, White House menampilkan beberapa pegawai kanan pentadbiran termasuk Naib Presiden, JD Vance dan Setiausaha Negara, Marco Rubio untuk berdepan media.
Setakat ini, White House masih belum mengumumkan individu yang bakal menggantikan Leavitt sebagai Setiausaha Akhbar White House. - Agensi