WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengeluarkan amaran keras bahawa Pemimpin Agung baharu Iran tidak akan bertahan lama tanpa kelulusan Washington.
Selepas kenyataan keras dikeluarkan Trump, Tehran sudah pun mengumumkan pengganti kepada Ayatollah Ali Khamenei yang terbunuh pada hari-hari awal konflik Iran–AS–Israel ialah anak lelaki kedua Allahyarham iaitu Mojtaba Khamenei.
Advertisement
Sembilan hari selepas kematian Khamenei, beberapa ahli Majlis Pakar Iran memaklumkan, badan itu sudah membuat keputusan bahawa “nama Khamenei akan terus kekal” sekali gus mengesahkan Mojtaba calon paling dominan dalam proses pemilihan.
Namun, Trump sebelum ini menolak Mojtaba sebagai “tidak layak” dan menegaskan Washington perlu memberi kelulusan terhadap mana-mana calon.
“Jika dia tidak mendapat kelulusan daripada kami, dia tidak akan bertahan lama,” kata Trump dalam wawancara bersama ABC News.
Bagaimanapun, Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi menegaskan, proses pemilihan pemimpin agung adalah urusan dalaman Iran dan tiada kuasa luar dibenarkan campur tangan.
Dalam program “Meet the Press”, Araghchi turut menggesa Trump memohon maaf kepada rakyat Asia Barat atas perang yang semakin meruncing.
Dalam perkembangan berkaitan, tentera Israel memperluas operasi ketenteraan dengan melancarkan dua serangan besar semalaman termasuk serangan terhadap depot bahan api di sekitar Tehran serta serangan ke atas sebuah hotel di tengah Beirut yang dipercayai menempatkan komander Iran.
Serangan di Beirut dilaporkan membunuh lima komander Pengawal Revolusi Iran (IRGC), termasuk tiga pegawai kanan Pasukan Quds.
Di Tehran, lima fasiliti minyak diserang, mengorbankan beberapa individu dan menyebabkan asap tebal menyelubungi bandar.
Gabenor Tehran memaklumkan, operasi pengagihan bahan api terpaksa dihentikan sementara.
Awan hitam turut menyebabkan kualiti udara merosot teruk sehingga pihak berkuasa memberi amaran kepada penduduk untuk kekal di dalam rumah kerana risiko toksik.
Beberapa penduduk Tehran melaporkan kesukaran mendapatkan keperluan asas, termasuk gangguan bekalan petrol di stesen minyak.
Letupan kuat juga memecahkan tingkap bangunan berhampiran.
Seorang pendudukberkata, pada awalnya beliau menyokong perang dan turut meraikan kematian Khamenei, namun kini menyesal apabila krisis bahan api mula melumpuhkan kehidupan harian.
Dalam kenyataan lain, IRGC menegaskan, mereka mempunyai bekalan mencukupi untuk meneruskan perang drone dan peluru berpandu sehingga enam bulan akan datang.
Di Israel, beberapa letupan kedengaran di Tel Aviv selepas peluru berpandu dari Iran dikesan menuju ke bandar itu. Enam orang dilaporkan cedera dalam serangan tersebut. - Agensi