Skip to main content

Dunia

Tempoh 2 hari mendebarkan, risiko sabotaj bayangi perjanjian damai AS-Iran - Penganalisis

FILE PHOTO: U.S. and Iranian flags are seen in this illustration taken March 23, 2026. REUTERS/Dado Ruvic/Illustration/File Photo
Tempoh dua hari lagi sebelum 19 Jun disifatkan sangat getir, kerana terdapat pelbagai faktor berpotensi melumpuhkan usaha damai antara Amerika Syarikat dan Iran pada saat akhir. - Foto fail/ Reuters
Advertisement

KUALA LUMPUR: Perjanjian damai dijangka dimeterai antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran pada 19 Jun ini di Lucerne, Switzerland merupakan satu perkembangan positif, namun wujud risiko sabotaj yang boleh menggagalkan proses tersebut.

Profesor Pengajian Keselamatan Antarabangsa dan Felo Kanan di Global Peace Insitute (GPI), Profesor Mohd Mizan Mohammad Aslam berkata, tempoh dua hari sebelum 19 Jun adalah sangat getir, kerana terdapat pelbagai faktor berpotensi melumpuhkan usaha damai pada saat akhir.

"Dalam setiap perjanjian damai yang pernah dimeterai sebelum ini, sentiasa wujud elemen untuk mensabotaj atau menggagalkan usaha murni tersebut, terutama sekali oleh pihak AS dan Israel.

"Kita dapati mereka ini adalah dua negara yang membenci perdamaian... Mereka tidak mahu perdamaian itu berlaku dengan cuba mensabotaj supaya peperangan dapat diteruskan.

"Jadi menjelang 19 Jun ini, segalanya mungkin. Usaha mensabotaj itu pasti akan berlaku, terutamanya Israel yang tidak pernah mematuhi perjanjian damai pun, misalnya serangan ke atas Lubnan masih diteruskan ketika tempoh gencatan senjata. Tidak mustahil Tehran turut diserang," jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan semua pihak terlibat perlu menyediakan pelan kontingensi bagi menghadapi kemungkinan perjanjian tersebut gagal dimeterai atau tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya.

“Perlu ada persiapan, perlu ada satu strategi, kita panggil backup plan ataupun plan B, C, D dan sebagainya, ataupun worst-case scenario jika ia (perjanjian damai) gagal, apa yang perlu disediakan.

"Perkara ini harus difahami oleh pihak terbabit yang mahu melihat keamanan diperoleh, kerana saya lihat di pihak Iran cenderung bersetuju merealisasikan perjanjian damai ini, dengan syarat tiada serangan baharu berlaku.

"Tetapi ada duri dalam daging, iaitu pihak satu lagi (AS dan Israel) yang berkemungkinan masih meneruskan serangan, sekali gus menggagalkan usaha damai ini,” katanya.

Sementara itu, katanya perjanjian damai ini berpotensi membawa impak positif kepada ekonomi global, termasuk Malaysia, menerusi kestabilan harga minyak, perdagangan antarabangsa dan keyakinan pelabur.

"Kesan paling ketara daripada perjanjian ini adalah penurunan harga minyak dunia yang dijangka boleh turun ke bawah AS$70 setong.

“Ini akan membantu menstabilkan harga minyak dan tenaga untuk seluruh dunia, sekali gus menurunkan harga logistik, pengangkutan, inflasi dan juga kos perdagangan,” jelas Mizan.

Negara di rantau Asia Barat seperti Emiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar, Bahrain dan Kuwait akan menikmati suasana lebih stabil sekali gus meningkatkan keyakinan pelabur untuk kembali menjalankan aktiviti ekonomi.

Perjanjian damai berkenaan turut dijangka memperkukuh perdagangan global apabila laluan perkapalan menjadi lebih selamat, manakala kos insurans dan penghantaran dapat dikurangkan.

Malaysia juga dijangka menerima manfaat daripada kestabilan pasaran tenaga dan ekonomi global yang lebih seimbang, sekali gus membantu merancakkan pertumbuhan ekonomi negara dalam jangka panjang.

Must Watch Video

Advertisement