Skip to main content

Malaysia

Li Jane terpaksa akur selaku naib juara Terbuka Amerika Syarikat

Bowling Malaysia
Li Jane mempamerkan aksi cemerlang sepanjang kejohanan, namun terpaksa akur kepada pemain tuan rumah Jillian Martin. - Gambar/ Bowling Malaysia

KUALA LUMPUR: Hasrat pemain boling negara Sin Li Jane untuk merampas semula gelaran Terbuka Wanita Amerika Syarikat (AS) tidak kesampaian apabila sekadar berpuas hati sebagai naib juara kejohanan berprestij itu.

Pada saingan berlangsung di Royal Pin Woodland, Indianapolis pada Selasa, juara edisi 2024 itu mempamerkan aksi cemerlang sepanjang kejohanan, namun terpaksa akur kepada pemain tuan rumah Jillian Martin, dalam perlawanan penentuan (roll-off) pada final stepladder.

Sebelum itu, kedua-dua pemain terikat 212-212 selepas berakhir permainan sebenar.

Pada aksi penentuan, Li Jane mencatatkan jatuhan pin 10, 7, 10 dan 9, mankala Jillian merekodkan 10, 7, 10 dan 10 untuk meraih gelaran juara dengan kelebihan satu pin.

Selaku naib juara, Li Jane membawa pulang hadiah wang tunai AS$30,000 (kira-kira RM122,070).

Sementara Jillian menerima hadiah utama AS$60,000 (kira-kira RM244,140) selain jaket hijau kejuaraan dan trofi kemenangan.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement