KIGALI: Pertubuhan Doktor Tanpa Sempadan (MSF) menyuarakan pada Selasa kebimbangan terhadap situasi kesihatan yang semakin meruncing di Wilayah Kivu Utara, timur Republik Demokratik Congo, dengan kawasan panas baharu penyakit Ebola muncul setiap minggu di tengah-tengah kapasiti rawatan yang tidak mencukupi.
Sejak pengisytiharan wabak Ebola pada pertengahan Mei di Congo, jumlah kumulatif kes kini mencecah 8,554, termasuk 4,114 kematian, menurut kemas kini situasi terkini Kementerian Kesihatan, lapor Anadolu Ajansi.
Dalam satu kenyataan, pertubuhan bantuan perubatan Perancis itu berkata wabak penyakit Ebola di Wilayah Kivu Utara merebak dengan pantas sejak awal September, dengan wilayah itu kini menyumbang hampir 40 peratus daripada semua kes sah baharu di seluruh negara, berbanding 24 peratus pada akhir Ogos.
MSF memberi amaran bahawa situasi berkenaan meletakkan pesakit sedia ada dan seluruh komuniti dalam risiko yang lebih besar.
“Ia seperti menentang kebakaran besar,” kata Stephanie Hoffmann, penyelaras pusat rawatan Ebola MSF di Butembo. “Banyak penularan berlaku secara serentak, dengan tahap keamatan berbeza di pelbagai lokasi. Selagi kawasan panas baharu terus muncul manakala virus merebak di seluruh bahagian utara Kivu Utara, usaha membendung wabak ini akan kekal sangat sukar.”
Wabak terkini itu menjejaskan tujuh wilayah: Haut-Uele, Ituri, Kivu Utara, Kivu Selatan, Bas-Uele, Tshopo dan Ubangi - Selatan.
MSF berkata Kivu Utara menanggung beban penyakit Ebola yang semakin meningkat di negara itu ketika akses kepada penjagaan pakar kekal tidak mencukupi.
Sehingga 28 Sept, seramai 34 peratus pesakit Ebola yang disahkan masih dirawat di kemudahan kesihatan bukan pakar berikutan kapasiti katil yang terhad di pusat rawatan khas serta kelewatan dalam diagnosis, menurut pertubuhan perubatan itu.
-- BERNAMA-ANADOLU