Skip to main content

Malaysia

Budak setahun lapan bulan dilapor hilang sudah ditemui

Kanak-kanak lelaki yang hilang di Kampung Bechah Salak di Kuala Krai ditemukan selamat di kawasan ladang getah berbukit di sini pada Isnin.  - Foto Sinar Harian
Kanak-kanak lelaki yang hilang di Kampung Bechah Salak di Kuala Krai ditemukan selamat di kawasan ladang getah berbukit di sini pada Isnin. - Foto Sinar Harian
Advertisement

KUALA KRAI: Selepas lebih 18 jam hilang, seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun lapan bulan ditemukan selamat di kawasan semak dalam kebun getah berbukit di Kampung Bechah Salak di sini, pada Isnin.

Muhammad Irsyad Hakim Mohammad Khairul Najmi ditemukan pada jam 10.20 pagi oleh seorang penoreh getah yang sedang menebas rumput di kawasan berkenaan, kira-kira satu kilometer dari lokasi dia dipercayai hilang.

Image
Kesan darah dipercayai digigit pacat pada kaki Muhammad Irsyad Hakim dicuci bapanya
Kesan darah dipercayai digigit pacat pada kaki Muhammad Irsyad Hakim dicuci bapanya. - Foto Sinar Harian

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Durian, Pegawai Bomba Tinggi II Zulhimi Baharudin, berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang disambung pada hari kedua itu melibatkan kira-kira 32 anggota daripada pelbagai agensi.

Advertisement

Menurutnya, operasi pencarian turut dibantu unit K9 yang terdiri daripada tiga anggota dan seekor anjing pengesan bagi mengesan keberadaan mangsa.

“Radius pencarian pada hari kedua memfokuskan kawasan sekitar 500 hingga 600 meter dari rumah mangsa.

Advertisement

“Bagaimanapun, mangsa ditemukan dalam keadaan selamat di kawasan yang lebih jauh, iaitu lebih satu kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang,” katanya kepada pemberita di sini, pada Isnin.

Beliau berkata, mangsa yang hanya memakai lampin pakai buang itu ditemukan selepas penoreh berkenaan terdengar suara tangisan kanak-kanak ketika menebas rumput di kebunnya.

“Ketika dibawa keluar, terdapat sedikit kesan darah pada kaki mangsa yang dipercayai akibat gigitan pacat, selain kesan gigitan nyamuk di bahagian belakang badannya,” katanya.

Image
Muhammad Irsyad Hakim dibawa pulang ke rumah selepas ditemukan.
Muhammad Irsyad Hakim dibawa pulang ke rumah selepas ditemukan. - Foto Sinar Harian

Operasi SAR yang bermula pada petang Ahad itu turut melibatkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Durian, pasukan bomba sukarela Guchil, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta unit K9.

“Mangsa dibawa keluar dari kawasan semak dan diserahkan kepada keluarganya.

“Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai untuk pemeriksaan menggunakan ambulans bomba,” katanya. -- Sinar Harian
 

Must Watch Video

Advertisement