Skip to main content

Dunia

Kawasan terbakar di Amazon catat paras terendah dalam 40 tahun

Sumber: REUTERS
Keluasan hutan yang terbakar di Amazon pada 2025 susut ke paras terendah dalam tempoh 40 tahun, menurut laporan tahunan inisiatif pemantauan Brazil, MapBiomas. - Gambar Reuters
Advertisement

RIO DE JANEIRO: Keluasan hutan yang terbakar di Amazon pada 2025 susut ke paras terendah dalam tempoh 40 tahun, menurut laporan tahunan inisiatif pemantauan Brazil, MapBiomas.

Kira-kira 3.1 juta hektar kawasan terjejas akibat kebakaran tahun lepas, susut kira-kira 80 peratus berbanding 2024, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).

Kebakaran hutan di seluruh Brazil turut berkurangan, dengan 12.7 juta hektar kawasan terbakar di seluruh negara.

Angka itu jauh lebih rendah berbanding lebih 30 juta hektar yang direkodkan susulan kemarau pada tahun sebelumnya, selain menjadi paras terendah sejak 2018.

Dalam kenyataan berasingan, MapBiomas memaklumkan, keluasan kawasan diliputi air di Amazon meningkat pada 2025 selepas dua tahun dilanda kemarau, dibantu taburan hujan yang lebih tinggi.

Keluasan kawasan diliputi air adalah kira-kira 2.6 peratus melebihi purata jangka panjang.

Penyelidik Bruno Ferreira berkata, pemulihan itu merupakan perkembangan positif, namun memberi amaran bahawa keadaan untuk jangka panjang masih membimbangkan berikutan kejadian cuaca ekstrem yang semakin kerap berlaku di rantau berkenaan.

Beliau berkata, perubahan iklim dan perubahan guna tanah turut mempengaruhi paras air.

Analisis bagi tempoh empat dekad mendapati lebih 49 peratus daripada keseluruhan kawasan terbakar terletak di tanah luar bandar milik persendirian, manakala kira-kira lapan peratus lagi di kawasan penempatan.

Pokok sering ditebang sebelum kawasan yang telah dibersihkan dibakar untuk dijadikan padang ragut atau tanah pertanian, termasuk bagi penanaman kacang soya.

Ketika cuaca panas melampau, kebakaran boleh merebak di luar kawalan.

MapBiomas memaklumkan, kebakaran di Brazil boleh berpunca daripada faktor semula jadi atau kegiatan manusia.

Bagaimanapun, kebakaran semula jadi kurang lazim berlaku di hutan hujan tropika seperti Amazon berbanding ekosistem lain.

Rangkaian itu, yang menghimpunkan universiti, pertubuhan bukan kerajaan dan syarikat teknologi, menganalisis imej satelit serta data lain.

-- BERNAMA-dpa

 

 

Must Watch Video

Advertisement