ALMATY: Taliban (berdepan sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kerana keganasan) tidak lagi dianggap sebagai organisasi yang diharamkan di Kazakhstan, lapor Sputnik memetik jurucakap Kementerian Luar Kazakhstan Aibek Smadiyarov pada Jumaat.

"Kazakhstan sentiasa mengemas kini senarai kebangsaan organisasi pengganas yang diharamkan di Kazakhstan. Hasilnya, keputusan dibuat untuk mengeluarkan pergerakan Taliban daripada senarai itu, selaras dengan amalan PBB.

"Lebih tepat lagi, tiada resolusi Majlis Keselamatan PBB yang mengikat Taliban sebagai organisasi keganasan yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan," lapor Kazinform Agensi Berita Kazakhstan memetik kenyataan Smadiyarov.

Mengulas mengenai rancangan Kazakhstan untuk menjalin hubungan politik dengan Taliban, Smadiyarov berkata negaranya akan bertindak selaras dengan resolusi Majlis Keselamatan dan Perhimpunan Agung PBB.

Pada tahun 2005, Mahkamah Agung Kazakhstan mengiktiraf pergerakan Taliban sebagai organisasi pengganas dan melarang aktivitinya di negara itu.

Taliban mengambil alih kuasa pada Ogos 2021, menggulingkan kerajaan yang disokong Amerika Syarikat apabila tentera NATO meninggalkan Afghanistan selepas kehadiran hampir 20 tahun di negara itu.

Susulan pertukaran kepimpinan itu, banyak negara dan organisasi antarabangsa bertindak balas dengan memutuskan bantuan dan hubungan dengan Kabul.

-- BERNAMA