NEW YORK: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, berkata keadaan dunia semakin meruncing apabila konflik bersenjata semakin banyak dan kompleks, manakala perpecahan geopolitik dalam kalangan kuasa besar menyebabkan Majlis Keselamatan PBB gagal berfungsi secara berkesan.
Dalam temu bual menjelang ucapan terakhirnya sebagai setiausaha agung pada Perhimpunan Agung PBB (UNGA), Guterres berkata penglibatan kuasa besar dan anggota tetap Majlis Keselamatan dalam beberapa konflik utama dunia telah mewujudkan krisis yang disertai pelanggaran berterusan undang-undang antarabangsa.
Menurut beliau, keadaan itu mewujudkan budaya impuniti yang mendorong negara kuasa sederhana bertindak tanpa menghiraukan akibat atau tindakan antarabangsa.
"Keadaan dunia semakin buruk," katanya sambil menegaskan bahawa golongan paling terdedah di seluruh dunia kini berdepan situasi yang amat mencabar akibat konflik berterusan.
Guterres turut menyentuh kesan peperangan di Ukraine serta konflik melibatkan Amerika Syarikat, Israel dan Iran yang menurutnya memberi impak langsung kepada ekonomi global.
Beliau berkata gangguan terhadap eksport makanan, baja dan tenaga melalui Laut Hitam, digabungkan dengan ketegangan di Selat Hormuz dan Bab al-Mandeb serta serangan terhadap kemudahan minyak di Asia Barat, telah menjejaskan rantaian bekalan global.
Menurutnya, keadaan itu menyebabkan kenaikan harga bahan api, peningkatan inflasi serta menambah tekanan terhadap ekonomi di banyak negara.
Beliau berkata negara maju mungkin mampu menguruskan kenaikan kadar faedah dan harga tenaga, namun negara membangun berdepan keadaan yang jauh lebih sukar akibat kos makanan dan tenaga yang semakin meningkat serta kekurangan bekalan baja.
Guterres yang memegang jawatan Setiausaha Agung PBB sejak Januari 2017 akan menamatkan penggal perkhidmatannya pada 31 Disember 2026.
Beliau berkata organisasi itu memerlukan pembaharuan menyeluruh bagi memastikan ia terus relevan dalam menangani cabaran global yang semakin rumit.
Menurutnya, Majlis Keselamatan PBB masih mencerminkan susunan kuasa dunia era Perang Dunia Kedua dan tidak lagi menggambarkan realiti geopolitik semasa.
Beberapa nama disebut sebagai calon pengganti Guterres, termasuk Ketua Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Rafael Grossi, bekas Presiden Senegal, Macky Sall, serta diplomat Ecuador, Maria Fernanda Espinosa.
Untuk dilantik sebagai Setiausaha Agung PBB yang baharu, calon perlu memperoleh sekurang-kurangnya sembilan undi daripada 15 anggota Majlis Keselamatan dan tidak menerima veto daripada mana-mana lima anggota tetap iaitu China, Perancis, Rusia, United Kingdom dan Amerika Syarikat sebelum disahkan oleh Perhimpunan Agung PBB.