ISTANBUL: Agensi Pertahanan Awam Arab Saudi pada Khamis mengumumkan bahawa keadaan bahaya telah berakhir di Makkah, Taif dan wilayah barat laut Tabuk, susulan amaran kecemasan yang dikeluarkan sebelum ini untuk kawasan berkenaan serta Jeddah dan Yanbu, lapor Anadolu Ajansi.
Dalam notis berasingan yang mengisytiharkan keadaan selamat, agensi itu menggesa penduduk supaya terus mematuhi arahan serta mengelak daripada berkumpul atau merakam gambar dan video.
Makkah, Taif dan Jeddah terletak di bahagian barat Arab Saudi.
Yanbu merupakan bandar pelabuhan di Laut Merah yang terletak lebih jauh ke utara, manakala Tabuk berada di barat laut negara itu.
Pertahanan Awam telah mengeluarkan amaran melalui platform amaran awal kebangsaan mengenai "potensi bahaya."
Notis tersebut tidak memperincikan jenis ancaman mahupun melaporkan sebarang kemalangan jiwa atau kerosakan.
Arab Saudi telah berdepan beberapa siri serangan peluru berpandu dan dron yang didakwa dilakukan oleh kumpulan Houthi sejak kebelakangan ini.
Pada 20 Julai, kumpulan Houthi mengumumkan apa yang mereka gelar sebagai "sekatan maritim" terhadap Arab Saudi, sebelum kemudiannya mendakwa melancarkan serangan peluru berpandu dan dron ke atas kapal serta lokasi yang mempunyai kaitan dengan Arab Saudi.
Arab Saudi memimpin pakatan yang menyokong kerajaan Yaman yang diiktiraf di peringkat antarabangsa sejak Mac 2015 bagi menentang kumpulan Houthi, yang telah menguasai ibu kota Sanaa dan beberapa wilayah sejak September 2014.
-- BERNAMA-ANADOLU