JAKARTA: Kebakaran hutan yang sedang berlaku di Pulau Borneo menimbulkan kebimbangan terhadap kelangsungan hidup orang utan apabila sebahagian habitat semula jadi spesies terancam itu musnah akibat api yang merebak di beberapa kawasan.
Seekor orang utan yang lemah ditemui terbaring di atas tanah di Ketapang, Kalimantan Barat, mencerminkan kesan serius kebakaran terhadap hidupan liar di rantau berkenaan.
Indonesia kini memperhebat usaha mengawal jerebu dan kebakaran hutan yang melanda enam wilayah di Pulau Borneo dan Sumatera, dengan pasukan kecemasan digerakkan bagi menghalang api daripada terus merebak.
Menurut Yayasan Inisiasi Alam Rehabilitasi Indonesia (YIARI), kebakaran tersebut telah memusnahkan sebahagian kawasan hutan yang menjadi sumber makanan, perlindungan dan habitat kepada ratusan orang utan.
Ketua Pegawai Eksekutif YIARI, Karmele Llano Sanchez, berkata keadaan semasa amat membimbangkan kerana kebakaran menyebabkan haiwan berkenaan kehilangan akses kepada keperluan asas untuk terus hidup.
"Keadaan kini agak kritikal. Kebakaran menyebabkan orang utan kehilangan sumber makanan dan bekalan air," katanya.
Beliau menjelaskan bahawa kebakaran bukan sahaja memusnahkan habitat semula jadi, malah memaksa haiwan itu keluar dari kawasan hutan dan berdepan risiko kelaparan, dehidrasi serta konflik dengan manusia.
YIARI memaklumkan orang utan yang ditemui dalam keadaan lemah di Ketapang akan dipindahkan ke pusat pemulihan bagi menjalani rawatan dan penjagaan lanjut.
Selepas pulih sepenuhnya, haiwan itu akan dilepaskan semula ke habitat liar yang sesuai, menurut pertubuhan berkenaan.
Orang utan, yang hanya ditemui secara semula jadi di Borneo dan Sumatera, diklasifikasikan sebagai spesies terancam kritikal, dengan kehilangan habitat akibat penebangan hutan dan kebakaran menjadi antara ancaman utama terhadap kelangsungan populasinya.
Pihak berkuasa Indonesia terus memantau situasi kebakaran dan menjalankan operasi pemadaman bagi mengurangkan kesan terhadap komuniti setempat serta ekosistem hutan yang menjadi habitat kepada pelbagai spesies hidupan liar.