ISTANBUL: Kebakaran hutan yang memusnahkan ribuan hektar kawasan serta memaksa penduduk berpindah di Perancis dan Sepanyol sejak beberapa hari lalu mula semakin terkawal pada Rabu, ketika satu lagi gelombang haba dijangka melanda rantau itu, lapor Anadolu Ajansi yang memetik media tempatan.
Di wilayah Gironde di barat daya Perancis, pejabat pentadbiran tempatan memaklumkan kebakaran hutan kekal stabil pada waktu pagi, walaupun beberapa kebakaran kecil tercetus semula namun berjaya dikawal pada waktu malam, menurut penyiar BFMTV.
Pejabat itu berkata keadaan sepanjang malam adalah terkawal, manakala lebih 2,000 anggota bomba terus digerakkan bagi mengawal bahagian perimeter kebakaran yang masih aktif serta memadamkan saki-baki kebakaran.
Menurutnya, seramai 126 anggota bomba cedera sejak kebakaran di Gironde bermula.
Sementara itu, kebakaran di wilayah Var di tenggara Perancis berjaya dikawal pada Selasa selepas memusnahkan hampir 4,800 hektar kawasan.
Di wilayah Landes di barat daya Perancis pula, sehingga 350 anggota bomba masih ditempatkan di lokasi walaupun kebakaran berjaya dikawal pada Isnin selepas memusnahkan 3,600 hektar kawasan.
Gironde dan Var merupakan antara 65 wilayah yang diletakkan di bawah amaran jingga pada Rabu berikutan risiko tinggi kebakaran hutan.
Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan Meteo-France turut mengeluarkan amaran jingga di 16 wilayah susulan gelombang haba baharu yang dijangka melanda.
Di Sepanyol, kebakaran hutan di wilayah Sierra Oeste, Madrid kekal stabil sepanjang malam tanpa sebarang kebakaran kecil tercetus semula, menurut akhbar harian El Pais.
Usaha memadam kebakaran masih diteruskan bagi mengawal kebakaran yang masih aktif di wilayah Madrid, Avila, Toledo, Castellon dan Almeria ketika Sepanyol turut bersiap sedia menghadapi satu lagi gelombang haba.
Penduduk di 15 perbandaran di Madrid dan Avila dibenarkan pulang ke rumah lewat Selasa, manakala 9,000 penduduk di Castellon serta 6,000 lagi dari 11 perbandaran di Toledo turut dibenarkan pulang.
Kebakaran hutan di Vall d'Uixo, Castellon yang bermula sejak Sabtu telah memusnahkan 10,000 hektar kawasan, memaksa 10,000 penduduk dipindahkan dan masih belum dapat dikawal.
Walaupun jumlahnya berkurangan berikutan keadaan kebakaran yang semakin terkawal, sebanyak 30 jalan raya di Avila, Castellon, Madrid, Toledo dan Leon masih ditutup.
-- BERNAMA-ANADOLU